Norhasnaliza (kanan) semasa menyerahkan sumbangan kepada Noraziza Aziz ketika ditemui di Kampung Batu Putih, dekat sini. FOTO IHSAN MEDIA SOSIAL
Norhasnaliza (kanan) semasa menyerahkan sumbangan kepada Noraziza Aziz ketika ditemui di Kampung Batu Putih, dekat sini. FOTO IHSAN MEDIA SOSIAL
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Mahu bekerja, tetapi bimbang tiada siapa dapat menguruskan anak dan suami. Itu dilema dihadapi seorang wanita yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Noraziza Aziz, 44, kini buntu memikirkan bagaimana mahu mencari rezeki dan pada masa sama perlu menjaga suaminya, Gelang Serbar Abdul Hamid, 60, yang diserang angin ahmar dan anak ketiganya, Qaseh Nur Safiyah berusia, 9, yang mengalami masalah sawan.

Menurutnya, sebelum ini dia mampu menguruskan lima anaknya ketika suami keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun masalah kesihatan pada 2018 menyebabkan Gelang terpaksa berhenti kerja.

"Ketika suami tidak sihat, saya mengambil keputusan bekerja dan dia pula menjaga anak di rumah, namun suami pula diserang angin ahmar Januari lalu, menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja.

"Sejak itu, saya hanya bergantung kepada wang pengeluaran i-Sinar dan i-Citra untuk menampung keperluan hidup kami sekeluarga," katanya yang sebelum ini bekerja kilang.

Menurutnya, buat masa ini dia ada perancangan untuk kembali bekerja, namun apabila memikirkan tiada sesiapa dapat menjaga dan menguruskan suami dan anaknya, dia terpaksa membatalkan hasrat itu.

"Saya mempunyai lima anak berusia enam hingga 14 tahun, masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan. Jika saya bekerja tiada sesiapa boleh menguruskan anak terutama Qaseh yang diserang sawan sejak berusia enam bulan.

"Anak saya diserang sawan ketika sedang tidur dan sejak itu hampir setiap hari dia akan mengalaminya sehingga membuatkan tumbesarannya terbantut dan hanya terlantar," katanya ketika ditemui di Kampung Batu Putih, dekat sini.

Katanya, mereka sekeluarga menetap di rumah yang dibina atas bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan ketika ini dalam proses memohon elaun untuk anaknya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

"Sebelum ini, saya memang tidak pernah memohon sebarang elaun atau sumbangan daripada mana-mana pihak kerana memikirkan gaji suami masih mampu menyara kami sekeluarga.

"Namun, sejak suami diserang angin ahmar, saya terpaksa juga memohon apa saja bantuan atau elaun sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beban kami sekeluarga," katanya yang ditemui ketika menerima kunjungan dan sumbangan diserahkan wakil Badan Penggerak Ikatan Ummah Sejati, Norhasnaliza Senusi.

Noraziza berkata, disebabkan desakan hidup, anak lelaki sulung juga enggan bersekolah dan mengambil keputusan bekerja dengan bapa saudaranya sebagai pembantu mengangkat tong gas.

"Saya sudah menasihati anak supaya jangan berhenti sekolah, namun dia tetap berdegil dan memberi alasan mahu membantu kami sekeluarga dengan gaji yang diperolehnya.

"Walaupun gaji diperoleh tidak seberapa namun anak tetap memberi wang belanja kepada saya dan dia tetap dengan keputusan enggan meneruskan persekolahan walaupun sudah dipujuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 5:56 PM