KEMALANGAN melibatkan dua buah kereta dan menyebabkan seorang wanita maut di Jalan Setia Barat U13, Setia Alam.
KEMALANGAN melibatkan dua buah kereta dan menyebabkan seorang wanita maut di Jalan Setia Barat U13, Setia Alam.
myMetro

Shah Alam: Seorang wanita warga Indonesia maut akibat tercampak keluar dari ‘teksi sapu’ dinaikinya yang bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Setia Barat U13, Setia Alam di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa, Sudah Ridae Siman, 36, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala, manakala dua lagi rakannya parah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Saga itu membuat pusingan U di jambatan persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Pada waktu itu, seorang pemandu yang datang dari arah Jalan Persiaran Setia Indah menghala ke Setia City Mall gagal mengelak dan melanggar kereta dinaiki mangsa.

“Ia mengakibatkan mangsa tercampak sejauh 24 meter dan terjatuh ke dalam longkang. Dua penumpang turut cedera teruk dan pemandunya dipercayai berusia 38 tahun,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan lanjut.

Kata Shafien, pemandu yang cedera di dahi mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:12 AM