Persiapan giat dijalankan untuk Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Tebingan Kuching.
Persiapan giat dijalankan untuk Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Tebingan Kuching.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuching: Selepas sambutan hangat di Miri pada 16 April lalu, Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt akan meneruskan ledakannya di Bumi Kenyalang dengan konsert di Tebingan Kuching, di sini, esok.

Bahang konsert semakin terasa apabila persiapan giat dijalankan dengan pembinaan pentas utama dan khemah, malah kain rentang dengan logo Harian Metro dan Yeo’s Yeogurt dinaikkan di kawasan lapang Tebingan Kuching.

Persiapan yang dilakukan ini menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Main Bazaar terutama pelancong yang berkunjung di Tebingan Kuching.

Tinjauan di Tebingan Kuching, semalam, mendapati persiapan konsert tetap dilakukan walaupun dalam keadaan hujan.

Malah, orang ramai sudah mula menghampiri dan bergambar di ‘gerai foto’ berlatar belakangkan logo 25 tahun Harian Metro walaupun ia belum siap sepenuhnya.

Koordinatornya Husain Jahit berkata, seperti di lokasi sebelum ini, program konsert akan bermula jam 4 petang esok, dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk semua peringkat usia.

“Pada sebelah petang sebelum konsert bermula, kita mengadakan pelbagai aktiviti antaranya mini karnival, pertandingan mewarna, lukisan seni pasir, persembahan badut jalanan, belon sabun gergasi, sukaneka dan trak makanan.

“Konsert bermula jam 8.30 malam menampilkan penyanyi kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah, Nanasheme, 6ixth Sense, Forteen serta penyanyi sensasi YouTube dan Smule, Khai Bahar,” katanya yang juga Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro.

Husain berkata, penonton bertuah bakal memenangi hadiah lumayan antaranya televisyen berjenama dengan paparan LED, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

“Mari datang beramai-ramai bagi menyertai semua aktiviti diadakan selain melihat artis kesayangan membuat persembahan,” katanya.

Kuching adalah lokasi terakhir Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang sebelum ini diadakan di Alor Setar, Muar, Kuantan dan Miri.

Turut diadakan sesi bertemu peminat bersama artis terbabit di C Atrium, Vivacity Megamall, di sini, mulai jam 8 hingga 9 malam, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 9:15 AM