Michelle Gun


Kali pertama beraksi di hadapan lebih 3,000 penonton di Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt pengalaman manis buat penyanyi sensasi YouTube dan Smule, Khai Bahar.

Konsert yang berlangsung di Waterfront Kuching, Sarawak, malam kelmarin turut menampilkan persembahan hebat Dayang Nurfaizah, 6ixth Sense, Forteen dan Nanasheme.

Pernah bekerja di Kuching tahun lalu, Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharudin, 22, mengakui berasa gementar sebelum konsert bermula pada jam 8.30 malam.

“Walaupun pernah menyanyi depan khalayak ramai, ini pengalaman pertama terbabit dalam persembahan berskala besar.

“Bagi menghilangkan perasaan gemuruh, saya main teka-teki dengan kakitangan Harian Metro.

“Malah, saya ada minta petua daripada kumpulan Forteen dan 6ixth Sense bagaimana mahu hilangkah rasa gementar,” katanya.

Menurut penyanyi kelahiran Perlis itu, impian untuk beraksi di pentas besar akhirnya tercapai apabila diundang Harian Metro untuk memeriahkan konsert jelajah itu.

“Tak sangka perasaan gementar hilang sebaik mula menyanyi. Kalau boleh, saya mahu terus menghiburkan penonton kerana rasa seronok,” katanya.

Bakal tampil dengan single sulung tidak lama lagi, Khai membuka tirai acara dengan mendendangkan lagu Bahagiamu Deritaku diikuti Sudah Ku Tahu yang dipopularkan Projektor Band.

Seterusnya, pentas diserahkan kepada Nanasheme yang menyampaikan dua lagu popularnya iaitu Hantu Atau Buaya dan Boleh Blah.

Istimewanya, kelab peminat Nanasheme iaitu Official Nanashemers membuat kejutan dengan meraikan ulang tahun ke-21 penyanyi itu di atas pentas.

Walaupun tanpa kehadiran Izzue, anggota Forteen tetap memberi persembahan memukau menerusi lagu Dekat Tapi Jauh, Linangan Terakhir dan Kita.

Acara diteruskan dengan persembahan penuh bertenaga kumpulan 6ixth Sense yang menghiburkan peminat dengan lagu 7 Kali Malam Minggu, Menyesal dan Khatimah Cinta.

Selepas dua jam berlangsung, konsert melabuhkan tirai dengan Dayang Nurfaizah yang menyampaikan dua lagu hit iaitu Dayang Sayang Kamu dan Tak Pernah Menyerah.

Menariknya, pengunjung bertuah yang membeli produk Yeo’s memenangi hadiah TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Selain berhibur, penonton turut membawa pulang cenderahati dalam segmen permainan yang dikendalikan pengacara Fuzz dan Wayne.

Terdahulu pada sebelah petang, beberapa aktiviti menarik menanti pengunjung iaitu karaoke santai, pertandingan mewarna dan permainan kereta kawalan jauh.

Pada 20 Mei lalu, barisan artis meluangkan masa beramah mesra dengan peminat di pusat beli-belah VivaCity Megamall, Kuching.

Sesi itu menyaksikan pusat beli-belah berkenaan sesak dengan peminat yang enggan melepaskan peluang bergambar dengan artis kesayangan mereka.

Kuching menjadi lokasi terakhir Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang sebelum ini diadakan di Miri, Alor Setar, Muar dan Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 10:20 AM
KHAI dalam gemuruh hiburkan peminat di Kuching.
KHAI dalam gemuruh hiburkan peminat di Kuching.
PERSEMBAHAN hebat 6ixth Sense.
PERSEMBAHAN hebat 6ixth Sense.
FORTEEN tidak kurang hebatnya di pentas.
FORTEEN tidak kurang hebatnya di pentas.
DAYANG dendangkan dua lagu hit untuk peminat.
DAYANG dendangkan dua lagu hit untuk peminat.
AHLI Official Nanashemers membuat kejutan kek harijadi di atas pentas.
AHLI Official Nanashemers membuat kejutan kek harijadi di atas pentas.
PENONTON terhibur dengan persembahan artis diminati.
PENONTON terhibur dengan persembahan artis diminati.