PERSIAPAN giat dijalankan untuk persediaan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt di Tebingan Kuching.
PERSIAPAN giat dijalankan untuk persediaan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt di Tebingan Kuching.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kuching: Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt hari ini menjadi acara yang ditunggu-tunggu pembaca setia Harian Metro di bandar raya ini.

Tinjauan di Tebingan Kuching di sini, semalam mendapati orang ramai mula menghampiri tapak acara untuk bertanya lebih lanjut mengenai program yang bakal diadakan pada hari ini.

Selain itu, mereka turut mengambil peluang bergambar di tapak ‘gerai foto’ berlatar belakangkan logo 25 tahun Harian Metro.

Kerani, Heryah Elias, 54, berkata, dia sudah memaklumkan kepada dua anak perempuannya supaya menemaninya ke konsert Harian Metro malam ini.

Menurutnya, mereka teruja untuk datang ke konsert malam ini kerana kehadiran artis anak kelahiran Sarawak yang ditunggu-tunggu, Dayang Nurfaizah.

“Sejak seminggu lalu saya sudah membaca mengenai penganjuran konsert ini dalam Harian Metro dan sudah tidak sabar menunggu hari berlangsungnya acara itu.

“Saya juga merancang untuk datang awal kerana ingin menyertai acara yang dianjurkan, mana tahu ada nasib menang cabutan bertuah,” katanya.

Peniaga Dewi Japar, 50, berkata, dia menjadi pembaca setia Harian Metro sejak akhbar itu bertapak di negeri ini pada 2010.

“Walaupun baru enam tahun bertapak di Bumi Kenyalang, Harian Metro mempunyai peminatnya tersendiri dan saya sudah menyaksikan banyak perubahan dalam akhbar kegemaran saya ini.

“Sudah pasti saya tidak ingin melepaskan peluang untuk menghadiri semua acara yang diadakan Harian Metro,” katanya.

Konsert malam ini bermula jam 8.30 malam menampilkan penyanyi kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah, Nanasheme, 6ixth Sense, Forteen serta penyanyi sensasi YouTube dan Smule, Khai Bahar.

Penonton bertuah bakal memenangi hadiah lumayan antaranya televisyen berjenama dengan paparan LED, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:12 AM