Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Majlis Keselamatan Negara (MKN) meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan pemeriksaan secara rambang terhadap pengenalan diri pengunjung yang datang beriadah di Sungai Golok, Rantau Panjang di sempadan Malaysia-Thailand, bermula serta-merta bagi mengelakkan pendatang asing tanpa izin (PATI) mengambil kesempatan masuk ke negara ini.

Setiausaha MKN negeri Kelantan Azhar Mohamad Yusof berkata, tindakan itu terpaksa dibuat kerana terdapat peningkatan jumlah penduduk dua negara yang beriadah di kawasan air sungai yang cetek berikutan cuaca panas yang melampau sejak Mac lalu, sekali gus mengelakkan warga Thailand mengambil kesempatan untuk masuk ke negara ini.

“Kalau kita tengok jumlah pengunjung yang ke Sungai Golok untuk beriadah, kita akui sukar untuk mengenal pasti sama ada penduduk yang beriadah di situ adalah rakyat Malaysia ataupun Thailand.

“Untuk itu, kita sudah meminta pihak ATM memeriksa secara rambang pengenalan diri dan sekiranya kita dapati mereka itu rakyat Thailand, kita akan minta mereka keluar daripada kawasan negara.

Beliau berkata, jika mereka ingkar dan tetap menceroboh kawasan sempadan negara, MKN tidak teragak-agak untuk mengiktiraf mereka sebagai PATI dan akan dikenakan tindakan mengikut akta Imigresen.

“Jadi kepada rakyat Malaysia yang ingin beriadah di sekitar Sungai Golok, mereka dinasihatkan supaya membawa bersama kad pengenalan diri agar tidak timbul masalah ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan keadaan Sungai Golok yang semakin cetek membolehkan orang ramai menyeberanginya dalam tempoh tiga minit.

Sungai itu juga meriah dengan aktiviti penduduk pada waktu siang, namun dibimbangi apabila menjadi laluan popular penyeludup pada sebelah malam.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, antara lokasi yang menjadi perhatian khusus adalah di Kampung Lubuk Setol, Kampung Nibong sekitar pekan Rantau Panjang, Kampung Bukit Bunga dan Kampung Air Lanas, Jeli.

“Bagi tujuan ini, seramai 16 pegawai dan 530 anggota dari pasukan Batalion ke 5 Rejimen Sempadan sudah ditugaskan di kawasan berkenaan bagi menghalang berlakunya aktiviti penyeludupan seperti senjata api, dadah dan rokok dan sebagainya.

“Dalam konteks serangan pengganas pula, kami yakin ATM mempunyai cara dan mekanisme tersendiri bagaimana untuk mengesan anasir yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, selain ATM, agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan beberapa agensi lain akan turut sama dalam melaksanakan operasi bersepadu.

“Kami khuatir pelbagai kegiatan mencabuli undang-undang negara berlaku di sepanjang sempadan,” katanya.

disebabkan itu kita memperketatkan kawalan keselamatan.

“Orang ramai juga diminta untuk turut sama membantu agensi penguat kuasa bagi membanteras gejala yang tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:40 AM