Maiamalina Mohamed Amin


Rantau Panjang: Hanya angkat sedikit seluar dipakai ke paras betis, tanggalkan kasut atau selipar dan tiga minit kemudian anda sudah berada di Thailand.

Mudah sungguh ke negara itu jika menggunakan Sungai Golok melalui bandar ini, begitu juga sebaliknya berikutan paras air semakin surut dan kering disebabkan fenomena El Nino.

Panas membahang menyebabkan sekitar pekan tidak sesibuk mana berbanding kawasan sungai itu yang meriah dengan penduduk kampung mandi-manda, selain berulang-alik Malaysia-Thailand.

Sungai yang menjadi pemisah jelas untuk sempadan kedua-dua negara itu kini tempat popular untuk beriadah kerana kewujudan beting pasir yang lebih banyak berbanding kemarau sebelum ini dan airnya jernih.

Sekurang-kurangnya 10 penduduk kebanyakannya dari kampung sebelah Thailand mandi-manda sejak pagi sehingga jam 12 tengah hari ketika cuaca menghampiri suhu maksimum 35 darjah Celsius.

Hampir 20 penduduk kampung di sepanjang sungai itu dilihat menyeberangi sungai itu dalam tempoh sejam.

Lokasi yang sesuai ialah belakang Klinik Kesihatan Rantau Panjang dan berdekatan Kampung Bereng, Golok kerana cetek serta airnya jernih berbanding kawasan lain.

Kewujudan beting pasir di kawasan sepanjang kira-kira 500 meter turut memudahkan sesiapa saja menyeberangi Sungai Golok yang mempunyai kelebaran kira-kira 15 meter.

Jika berjalan memerlukan tiga minit, menaiki bot penambang pula boleh membawa kepada lima hingga tujuh minit disebabkan bot tidak boleh menggunakan enjin.

Wartawan dan jurugambar menyeberangi sungai itu, semalam bersama penduduk yang lain tanpa sebarang masalah. Namun, apabila memikirkan soal keselamatan, kami agak berhati-hati.

Rata-rata penduduk yang berulang-alik ketika hari masih cerah tinggal di kampung sepanjang sungai dan mempunyai saudara -mara di pesisir sungai kedua-dua bahagian (sempadan).

Jadi, tidak mustahil kawasan itu boleh dilalui penyeludup yang membawa masuk barang secara haram dengan menyamar penduduk biasa atau menunggu ketika hari gelap.

Penduduk, Siti Fatimah Mamat, 58, turut berkongsi keresahannya jika laluan sungai itu menjadi pilihan utama penyeludup.

“Bahaya kepada penduduk yang duduk di tebing sungai ini sebab sungai mudah sangat untuk seberang. Kita takut orang dari sana (Thailand) datang sini buat kacau.

“Bukan semua baik, ada yang mahu mencuri, pecah masuk rumah. Itu yang kita takut sangat walau tiada lagi dengar kejadian berlaku setakat ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia mempunyai sebuah rumah di tebing Sungai Golok yang disewakan kepada penduduk dengan kadar RM250 dan pulang menjenguk setiap bulan.

“Saya kini menetap di Tanah Merah tapi pulang setiap bulan untuk tengok rumah (sambil duit sewa) dan mengambil tahu perkembangan semasa di kampung ini.

“Ini tempat saya berkeluarga dan membesarkan dua anak yang kini sudah berusia 40-an dan 30-an. Memang selalu teringat kenangan di Sungai Golok ini.

“Ketika banjir, ia mendatangkan kesengsaraan tetapi kemarau membawa keseronokan apabila boleh bermain air. Cuma yang takutnya apabila laluan mudah dilalui sehingga kami sukar mengenal pasti sesiapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 11:11 AM