GAMBAR fail menunjukkan Jambatan Muhibbah merentangi Sungai Golok yang menghubungkan Malaysia dan Thailand. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail menunjukkan Jambatan Muhibbah merentangi Sungai Golok yang menghubungkan Malaysia dan Thailand. FOTO Arkib NSTP
Sharifah Mahsinah Abdullah


POLIS meningkatkan kawalan keselamatan sempadan Kelantan-Thailand berikutan penemuan 41 butir bom buatan sendiri di Narathiwat yang didakwa dibawa dari Sungai Golok.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, langkah itu penting bagi membantu anggotanya mengesan mereka yang terbabit.

Selain itu, katanya, polis Kelantan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam usaha menyelesaikan kes berkenaan.

“Kita akan meningkatkan pemeriksaan keselamatan sempadan di sepanjang Sungai Golok,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Din meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung kes itu untuk tampil membantu polis dengan menghubungi mana-mana balai berhampiran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, pada satu sidang media di Kuala Lumpur, semalam, berkata dakwaan polis Thailand mengenai penemuan 41 butir bom buatan sendiri di Narathiwat, dibawa dari Sungai Golok, akan disiasat secara menyeluruh sebelum tindakan sewajarnya diambil jika ada bukti kukuh.

Pada 21 Jun lalu, polis Thailand menemukan bom buatan sendiri terbabit bersama alat peledaknya di dalam sebuah trak pikap yang ditahan ketika sekatan jalan raya di Kampung Saring, daerah Takbai, Narathiwat.

Ketua Polis Daerah Takbai, Kolonel Pacharapon Na Nakorn, dilaporkan berkata, bom buatan sendiri itu didakwa dibawa dari Sungai Golok untuk dihantar kepada seorang lelaki yang dapat meloloskan diri di daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 3:35 PM