Mohd Johari (kiri) meninjau pangkalan haram. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Johari (kiri) meninjau pangkalan haram. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KERAJAAN dicadangkan untuk mengambil alih tanah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok di sini untuk mengatasi masalah pencerobohan dan penyeludupan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, tindakan itu memudahkan lagi pihaknya menjalankan tugas penguatkuasaan di sempadan.

Beliau berkata, kini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sukar menjalankan tugas mengawal sempadan negara kerana tanah di sekitar sempadan dimiliki oleh orang perseorangan.

"Dianggarkan terdapat 129 pangkalan haram di sepanjang sungai Golok iaitu sejauh 129 kilometer (km), yang perlu dikawal pihak berkuasa bermula di Bukit Bunga,Jeli hingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Jika kerajaan dapat mengambil tanah di kawasan sempadan sudah pasti aktiviti haram seperti penyeludupan, pencerobohan dan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat ditangani.

"Keadaan sungai yang sempit memudahkan mereka menjalankan aktiviti haram sekali gus memberi cabaran dan kekangan buat pihak berkuasa yang bertugas," katanya ketika ditemui media di Kem Sasaran Penting 8 Briged di Rantau Panjang, hari ini.

Hadir sama, Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Mohd Ramli Jaafar, Panglima 8 Briged Brigedier Jeneral Nazari Abd Hadi, dan Panglima Briged ke-30 Brigedier Jeneral Datuk Ahmad Tajuddin Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Mohd Johari turut menyarankan kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 sudah diwartakan Jun tahun lalu.

"Dengan Akta MKN, kawasan sepanjang sempadan dapat digazetkan sebagai kawasan keselamatan dan ia memudahkan lagi penguatkuasaan.

"Dalam keadaan sekarang, pasukan ATM yang berkawal di sempadan tidak dapat menggunakan sepenuhnya kuasa mereka termasuk menembak penyeludup yang mendatangkan bahaya," katanya.

Keterangan gambar

Mohd Johari (kanan) meninjau pangkalan haram Gergaji di sini, semalam.

Gambar Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 10:54 PM