Sungai Golok berjarak hanya 40 meter yang menjadi pemisah Malaysia-Thailand memudahkan sindiket penyeludup. FOTO ARKIB NSTP
Sungai Golok berjarak hanya 40 meter yang menjadi pemisah Malaysia-Thailand memudahkan sindiket penyeludup. FOTO ARKIB NSTP
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Sempadan antara Malaysia-Thailand yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok yang sempit selain kawasan tebing sungai yang menjadi penempatan penduduk tempatan menjadi antara faktor utama mereka terbabit dalam kegiatan penyeludupan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, penduduk yang mendiami kawasan Sungai Golok, adalah pemilik asal tanah dan binaan dibangunkan di tanah persendirian sekali gus menyukarkan agensi berkaitan membuat serbuan dan pemantauan.

Katanya, selain itu, terdapat lebih 140 pangkalan haram yang menjadi laluan tidak sah bagi penduduk kedua-dua negara untuk berulang-alik yang mana keadaan ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan kes penyeludupan.

"Tambahan pula, penduduk di dua negara ini mempunyai pertalian kekeluargaan antara satu sama lain dan tidak dinafikan terdapat segelintir daripada menjadikan aktiviti penyeludupan ini sebagai mata pencarian harian sejak turun-0temurun.

"Bagaimanapun, kawalan sentiasa dilakukan pihak JKDM di pintu sempadan Malaysia-Thailand, termasuk mendapat kerjasama agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan AM (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Umum mengetahui, terdapat tiga laluan keluar dan masuk yang sah di sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga di Jeli serta Pengkalan Kubor di Tumpat," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, upah lumayan sehingga RM200 sehari mendorong sebahagian penduduk di sekitar kawasan Sungai Golok di daerah Tumpat dan Rantau Panjang memilih untuk bekerja sebagai penyeludup.

Kegiatan dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun itu juga sudah menjadi turun-temurun sehingga tiga generasi, bermula daripada datuk, bapa sehingga anak-anak menjadi penyeludup.

Wan Jamal berkata, JKDM tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyeludupan yang berlaku dan kepada sesiapa yang melakukan kesalahan dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ditadbir oleh jabatan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Oleh itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM bagi memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM yang terdekat di semua negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 10:21 AM