SENI silat mampu membentuk jati diri yang utuh dalam diri generasi muda.
SENI silat mampu membentuk jati diri yang utuh dalam diri generasi muda.
Paya Linda Yahya


BUKAN hanya mempelajarinya seni silat, malah murid di beberapa sekolah di Kelantan turut diterapkan dengan nilai murni dan disiplin tinggi dalam setiap sesi latihan yang mereka dihadiri.

Malah, tidak dinafikan pembabitan murid atau kanak-kanak seawal usia tujuh tahun dalam seni silat mampu membentuk jati diri yang utuh dalam diri mereka.

Harapan tinggi diletakkan kepada golongan ini yang bakal mewarisi seni mempertahankan diri dan membantu melahirkan generasi lebih yakin diri menghadapi pelbagai cabaran.

Menyedari akan hal itu, setiap kali sesi latihan silat yang dikendalikan jurulatih silat Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) Kelantan, Nik Azman Nik Par, 49, di setiap sekolah diselitkan sesi nasihat, tazkirah, kisah sejarah seni silat atau tokoh kemerdekaan negara.

Menurutnya, melalui pendedahan itu murid dapat menyedari dan lebih menghargai kemerdekaan negara.

Katanya, banyak tokoh kemerdekaan negara termasuk Mat Kilau, Tok Janggut dan Datuk Maharaja lela yang memperjuangkan keamanan negara melalui seni silat.

Nama mereka ini tercatat dalam sejarah negara yang memperjuangkan kemerdekaan negara melalui ilmu persilatan.

"Kita tidak boleh nafikan dengan mempelajari ilmu seni silat ini secara tidak langsung membantu mewujudkan jati diri dan disiplin tinggi dalam kalangan generasi muda.

HARAPAN tinggi diletakkan kepada golongan ini yang bakal
HARAPAN tinggi diletakkan kepada golongan ini yang bakal

"Malah, ini adalah warisan nenek moyang kita yang terdahulu dan menjadi seni mempertahankan diri pejuang kemerdekaan negara ini.

"Dalam setiap sesi latihan saya mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk memberi nasihat berkaitan kepentingan solat dan bercerita berkenaan sejarah kemerdekaan negara," katanya dalam sesi latihan silat di Sekolah Kebangsaan Gua Musang (SKGM).

Tambahnya lagi, di Kelantan sambutan yang diterima terhadap aktiviti seni silat sangat menggalakkan.

Malah, sejak cerita Mat Kilau ditayangkan di pawagam, turut memberi kesan kepada pertambahan ahli seni silat.

Menurutnya, sehingga kini ada lebih 11,000 ahli di seluruh negeri ini dan 9,000 daripadanya adalah dari Gua Musang.

"Setiap hari saya akan bergerak untuk menjadi jurulatih di beberapa sekolah di Kelantan.

"Saya gembira apabila ramai murid menunjukkan minat untuk mendalami seni silat dan saya yakin mereka akan memperoleh kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

"Aktiviti sukan dan pembelajaran yang seiring ini dapat meningkatkan kemahiran berfikir anak-anak selain dapat mengelakkan mereka terjerumus dalam aktiviti tidak sihat apabila remaja nanti," katanya.

Nik Azman berharap supaya lebih ramai murid dan pelajar menyertai aktiviti seni silat bukan hanya sebagai pertahanan diri, tetapi juga untuk membina jati diri lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 7:00 AM