Asrizal Aris


 

KETIKA usianya belum cukup setahun, dia sudah pandai menggerakkan tangan seperti gaya bersilat di dalam kereta sorong bayi.

Itu gelagat Ahmad Danish Danial Salihin, 4, ketika usianya masih bayi, sekali gus membuktikan minatnya yang begitu mendalam terhadap ilmu persilatan.

Khamis lalu, video Ahmad Danish membuat persembahan silat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, menjadi tumpuan dan tular di laman sosial sehingga menerima lebih 1 juta tontonan dalam tempoh empat hari.

Bapanya, Salihin Sarbini, 33, berkata, sejak kecil lagi anak sulung daripada dua beradik itu gemar menonton persembahan silat melalui paparan video di dalam telefon dan menyaksikan secara langsung latihan silat dilaksanakan.

Menurut Salihin yang juga jurulatih Persatuan Seni Silat Pusaka Gayong Selangor (PSSPGS), dia tidak pernah mendesak anaknya untuk mempelajari seni silat.

"Pada usia lebih setahun dia cepat tangkap dengan pergerakan dan teknik persilatan yang dia tengok. Dia tiada latihan formal, tetapi saya akan dorong pergerakan yang sepatutnya dia buat lalu dia ingat pergerakan itu.

"Pada usia itu, dia sudah boleh membuat persembahan silat sehinggakan tetamu yang datang ke rumah akan meminta dia bersilat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada usia tiga tahun, Ahmad Danish sudah beberapa kali membuat persembahan silat di majlis seni silat serta majlis perkahwinan di sekitar Gombak.

"Memang setiap kali buat persembahan silat, dia akan menjadi tumpuan kerana dia masih kecil. Tetapi tak sangka, video dia kali ini menjadi tular dan menunjukkan seni persilatan ini masih relevan serta diminati ramai.

"Ahmad Danish akan menjadi generasi kedua seni silat pusaka gayong dalam keluarga saya dan berharap seni silat akan terus dipertahankan oleh generasi muda akan datang," katanya.

Menurutnya, dia memilih seni silat gayong kerana teknik persilatan itu lebih tersusun dan setiap susun atur pergerakkan mempunyai makna yang tersirat.

Khamis lalu, Ahmad Danish membuat persembahan selingan sempena pertandingan silat seni sekolah-sekolah peringkat daerah di SMK Sungai Pusu, Gombak.

Video Ahmad Danish berdurasi seminit 14 saat menjadi tular serta menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:00 PM
Gelagat Ahmad Danish bersilat menarik perhatian ramai. FOTO ihsan Salihin Sarbini
Gelagat Ahmad Danish bersilat menarik perhatian ramai. FOTO ihsan Salihin Sarbini