Seberang Jaya: Kehebatannya menunggang motosikal secara berdiri bukan sahaja meletakkan namanya dalam catatan Malaysia Book of Records (MBR), malah mendapat gelaran ‘Raja Motosikal Berkuasa Tinggi’ daripada penunggang dan peminat motosikal tempatan.

Terbaru, kehebatan Datuk P Nadarajan, 53, mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu Iron Butt Association Motorcycle Riders dari United Kingdom selepas berjaya menunggang motosikal mengelilingi 10 negeri dalam masa 24 jam.

Beliau berkata, kejayaan itu dilaksanakan 2 hingga 3 April lalu di Shah Alam, Selangor dan berakhir di tempat sama.

“Dalam rekod terbaru ini, saya menunggang motosikal Honda Goldwing 1800cc melalui semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis iaitu sejauh 1,600 kilometer (km).

“Cabarannya saya perlu menunggang motosikal dalam kelajuan tidak melebihi 110 km/sejam manakala laluan pula membabitkan lebuh raya dan jalan biasa. Untuk lebuh raya, saya tidak menghadapi masalah, tetapi untuk laluan jalan biasa, saya perlu lebih berhati-hati.

“Laluan paling mencabar ialah dari Gerik, Perak ke Kota Bahru, Kelantan dan dari Kota Bharu ke Johor Bharu, Johor kerana laluanberselekoh dan jalan pada waktu malam,” katanya.

Jurutera berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, beliau merancang mengelilingi semua negeri di Semenanjung Malaysia dalam 24 jam pada Ogos nanti.

“Untuk merealisasikan cabaran itu, saya membuat latihan motosikal dua kali seminggu di Stadium Batu Kawan selain berjogging untuk mengekalkan stamina,” katanya.

Antara rekod pernah dicipta Nadarajan sejak 2007 ialah Tunggangan Motosikal Secara Berdiri sejauh 933 km dari Gelang Patah, Johor ke Bukit Kayu Hitam, Kedah serta tunggangan 12 jam dengan Honda Gold Wing 1500cc yang berlangsung di Litar Grand Prix Antarabangsa Sepang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 6:07 AM