Siti Rohana Idris

Tumpat: Kerosakan brek menyebabkan nyawa Pembantu Perawatan Kesihatan nyaris melayang ketika melakukan misi solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan skuter sempena meraikan Hari Kebangsaan Ke-65 baru-baru ini.

Insiden itu dialami Halim Hamid, 46, ketika dalam perjalanan ke Bukit Kepong, Johor apabila skuter Modenas Elegan 150 yang ditungganginya tiba-tiba gagal dikawal akibat kerosakan brek.

Halim berkata, kejadian berlaku ketika bergerak dalam keadaan laju dan apabila brek gagal berfungsi, dia terpaksa menggunakan kedua belah kaki menyebabkan tapak kasutnya tercabut.

"Walaupun sempat mengelak dari terbabs, situasi itu sangat mencemaskan dan tidak dapat dibayangkan jika ada kenderaan lain di belakang sudah pasti nasib saya berbeza," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bapa empat anak itu menamatkan menjayakan misi kembara solonya semalam selepas mengharungi perjalanan sejauh 3,000 kilometer selama lapan hari selepas memulakan tunggangan pada 26 Ogos lalu bermula di Kampung Laut di sini.

Halim yang juga anggota Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) berpangkat Sarjan berkata, perjalanan kali ini sangat berbeza dan lebih mencabar berbanding tujuh kali kembara yang sudah dilakukannya sejak dimulakan pada 2013.

HALIM berjaya misi kembara solo sempena Hari Kebangsaan dengan mengelilingi Semenanjung yang bermula 26 Ogos lalu sejauh 3,000 kilometer (km) dengan menunggang skuter berakhir petang semalam apabila selamat tiba di kampumg halamannya di Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HALIM berjaya misi kembara solo sempena Hari Kebangsaan dengan mengelilingi Semenanjung yang bermula 26 Ogos lalu sejauh 3,000 kilometer (km) dengan menunggang skuter berakhir petang semalam apabila selamat tiba di kampumg halamannya di Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Jika tahun sebelumnya saya menunggang motosikal Modenas Kriss tapi kali ini saya cuba menggunakan skuter terpakai yang dibeli semata-mata untuk misi ini.

"Walaupun pemanduannya agak santai dan selesa tapi keadaan skuter itu yang sudah berusia itu menyebabkan ia kerap mengalami kerosakan dalam perjalanan.

"Bagaimanapun nasib saya agak baik kerana selain berjaya membawanya ke bengkel membaiki motosikal, bantuan daripada kenalan di setiap negeri juga sentiasa ada," katanya.

Misi kembara solo Halim yang dilakukannya setiap tahun menjelang sambutan Bulan Kebangsaan itu bertujuan untuk menzahirkan semangat patriotiknya dengan cara tersendiri selain singgah ke beberapa lokasi bersejarah dalam pengembaraannya ke hampir semua negeri dalam Semenanjung Malaysia.

Halim bagaimanapun terkilan kerana gagal hadir di Dataran Merdeka untuk sambutan ambang merdeka kerana laluan ditutup selain skuter mengalami kerosakan merencatkan perancangan itu.

"Begitu juga dengan detik bersejarah pada pagi 31 Ogos lalu, saya tidak berpeluang hadir meraikannya di Dataran Merdeka kerana skuter masih rosak walaupun sudah berada di Kuala Lumpur ketika itu dan ia terpaksa ditunda disebabkan tiada bengkel yang buka pada hari berkenaan.

"Walaupun agak kecewa keranaa terpaksa melepaskan peluang keemasan sebegitu, saya reda selain tidak akan berputus asa dan menebus kekecewaan itu pada kembara tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 12:24 PM