SEGMEN pengembaraan.
SEGMEN pengembaraan.
Lizam Ridzuan


Setiap segmen motosikal berkuasa tinggi mempunyai corak dan gaya tunggangan tersendiri dan ia selalunya akan disesuaikan dengan pilihan dan jiwa pembeli.

Meskipun tiada satu model motosikal yang boleh mewakili semua gaya tunggangan namun menerusi segmen-segmen ini, pengguna boleh menilai model yang manakah sesuai buat mereka.

Di bawah ini ialah lima segmen motosikal berkuasa tinggi yang sesuai buat pembeli yang mahukan motosikal kegunaan pada hujung minggu atau harian.

Meskipun ada banyak lagi segmen lain, namun lima ini adalah pilihan popular pembeli yang mahukan jentera yang praktikal serta bergaya.

Cruiser

Motosikal tungangan santai ini ada yang menggelarkannya juga sebagai "chopper' atau 'easy rider' menawarkan bentuk yang klasik serta menjadi pilihan buat kaki modifikasi melakukan pengubahsuaian bagi menonjolkan gaya keperbadiaan masing-masing.

Model-model seperti Harley-Davidson, Kawasaki menerusi model Vulcan dan Royal Enfield antara yang tergolong dalam segmen ini.

Ia menawarkan enjin yang berkuasa namun bukan untuk tujuan pecutan atau kelajuan tinggi tapi lebih kepada konvoi santai dengan gaya tersendiri.

Sportbike

Turut dikenali dengan nama superbike, ia menawarkan motosikal gaya tunggangan sporty dan berprestasi seperti jentera perlumbaan sesuai buat mereka yang berjiwa kelajuan.

Di Malaysia ia ditawarkan dengan pelbagai enjin bermila 250 cc sehingga 1,200 cc dan hampir kesemua jenama motosikal menawarkan segmen ini seperti Yamaha dengan YZF-R1M, Honda (CBR), Kawasaki (Ninja) dan BMW (S1000RR)

Selain berprestasi tinggi, bagi tunggangan jentera sebegini sut perlumbaan adalah digalakkan selain pakaian menunggang yang lengkap bagi tujuan keselamatan.

MODEL Cruiser.
MODEL Cruiser.

NAKED
NAKED

Naked

Segmen motosikal Naked adalah versi tanpa fairing untuk motosikal sportbike dengan posisi menunggang lebih tegak serta kuasa enjin yang ditala mengikut kesesuaian model.

Ia lebih mudah ditunggang dan menjadi pilihan buat mereka yang mahu berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi serta mahukan tunggangan lebih selesa.

Model-model seperti Yamaha MT-09, Honda CB650R, Suzuki GSX-S750 dan Kawasaki Z650 adalah contoh model Naked yang terdapat dalam pasaran tempatan.

Pengembaraan (Adventure)

Model ini semakin mendapat perhatian peminat jentera dua roda kerana menawarkan gaya motosikal dual-purpose jalanan dan sesuai buat tunggangan jarak jauh.

Binaan casisnya adalah lebih tinggi dan posisi menunggang lebih santai serta kebanyakan pemilik akan meletakkan bekas simpanan sisi dan belakang untuk kemudahan dan gaya pengembaraan.

Di Malaysia model-model seperti BMW GS, Yamaha Tracer 9 GT, Versys 650, Suzuki V-Strom dan Honda CB500X antara terdapat dalam pasaran.

Skuter

Jika dahulu skuter hanya untuk kegunaan dalam bandar, namun menerusi pengenalan model-model skuter maxi, ia juga menjadi pilihan pembeli yang mahukan kemudahan tunggangan kerana ia menggunakan gear automatik (CVT) selain terdapat ruang simpanan luas di bawah tempat duduk.

Model yang menjadi pilihan ramai seperti Yamaha TMax dan XMax, Honda Forza dan X-Adv bukan sahaja sesuai bagi kegunaan dalam jarak dekat malah sering ditunggang bagi tujuan jelajah.

Pilihan rekaan yang sporty atau lasak membolehkan pembeli memilih model mana yang lebih dekat dengan jiwa mereka namun segmen skuter sentiasa menawarkan keseronokkan menunggang yang tinggi.

Selain lima yang dinyatakan, segmen seperti Sports Touring (Kawasaki GTR 1400 dan BMW R1250RT) juga antara yang sesuai buat tunggangan jarak jauh serta menawarkan keselesaan menunggang yang optimum namun harganya agak tinggi membuatkan ramai yang memilih segmen lain pada harga yang lebih kompetetif.

Model gaya klasik seperti Triumph juga menawarkan pilihan jentera yang menarik namun lebih fokus untuk golongan sasar yang gemarkan tunggangan santai serta gaya berpakaian 'dapper'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 6:49 AM