Salamah (kiri) bersama Siti Asmah, (tengah) dan Sania bergambar dengan motosikal di Putrajaya. FOTO AZHAR RAMLI
Salamah (kiri) bersama Siti Asmah, (tengah) dan Sania bergambar dengan motosikal di Putrajaya. FOTO AZHAR RAMLI
Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Bukan lagi perkara yang pelik apabila melihat semakin ramai wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi di jalan raya.

Ada yang pernah menjelajah sehingga ke luar negara, malah tidak kurang juga yang terbabit dengan dunia perlumbaan atau sebagai mekanik motosikal.

Namun, ramai juga yang hanya sebagai penunggang kasual seperti tiga wanita yang hanyalah wanita biasa, namun berkongsi minat yang sama.

Setiap satu dengan motosikal pilihan tersendiri, dikongsi kisahnya kepada Metro Ahad, baru-baru ini.

Wanita 'kaki motor', Salamah Idris, 46, Sania Nazira Mohamed Nasir, 30, dan Siti Asmah Zulkifli, 28, menjadikan aktiviti ini sebagai gaya hidup aktif masing-masing.

Meminati motosikal sejak zaman persekolahan, Salamah mengakui aktiviti menunggang motosikal memberikan kepuasan tersendiri.

"Dulu saya pernah memiliki motosikal seperti Yamaha RX-Z dan TZM dan selepas bekerjaya saya mahukan sesuatu yang lebih santai dan memilih jenama Harley-Davidson," katanya.

Seperti wanita lain tempoh membesarkan anak membuatkannya berehat seketika dalam dunia permotoran, namun kembali aktif selepas mereka remaja yang kini menuntut di sekolah berasrama penuh.

Model Sportster itu dibeli pada harga RM65,000 pada 2016 dan memilih jentera cruiser kerana sukakan sesuatu yang unik selain bergaya.

"Saya sememangnya suka berfesyen terutama dengan gaya ranggi dan amat sesuai sekali dipadankan ketika menunggang motosikal ini," katanya.

Salamah berkata, dia hanya akan keluar menunggang pada hujung minggu, malah hari biasa akan menumpukan pada urusan kerja sebagai penyelia perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat sistem keselamatan di Kuala Lumpur.

Salamah yang aktif bersama kelab Laddies of Harley Malaysia (LOH) pernah berkonvoi ke Pattaya, Thailand dan antara kenangan tidak dapat dilupakan tersesat jalan di sana namun itu cabaran dan pengalaman yang bernilai untuknya supaya lebih bersedia untuk masa akan datang.

Selain itu, katanya, buat wanita yang berminat untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi agar yakin dan berani untuk memulakannya.

"Ramai yang berkata berkaitan ketinggian menjadi faktor utama namun kini ada banyak motosikal yang ditawarkan di dalam pasaran yang sesuai untuk golongan wanita,"

"Aktiviti ini dapat mengeratkan silaturahim namun apa yang lebih penting hormat menghormati sesama rakan dan pengguna jalan raya lain menjadikan aktiviti tunggangan lebih menarik," katanya.

Bagi Sania Nazira pula, seorang wanita yang aktif dengan pelbagai aktiviti memiliki jentera sports touring BMW F800GT bernilai RM80,000 model 2013.

Bertugas sebagai eksekutif sebuah syarikat farmaseutikal antarabangsa, dia mula belajar menunggang motosikal skuter ketika menuntut di institusi pengajian swasta (IPTS) di Selangor.

Dia yang mula aktif menunggang sejak 2016 meminati aktiviti bermotosikal kerana bapanya juga memiliki motosikal adventure BMW R1200GS dan sering menunggang bersama.

"Motosikal ini menepati jiwa saya yang menggemari tunggangan menjelajah ke lokasi menarik di seluruh negara,

"Saya mahukan jentera dengan elemen sporty selain sesuai untuk penjelajahan dan ia juga sesuai dengan ketinggian saya," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Farmaseutikal dan Kesihatan.

Paling jauh tunggangan yang pernah ditempuhi ialah dari Putrajaya ke Pulau Pinang selain menjelajah ke seluruh negeri Johor untuk satu program pelancongan pada 2019.

Menurutnya faktor utama keseronokan menunggang ialah dapat rasakan kebebasan serta kelajuan di atas motosikal selain menikmati pemandangan menarik sepanjang laluan.

"Menunggang motosikal adalah keutamaan saya dan menjadi aktiviti wajib pada setiap minggu sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan," katanya bakal menamatkan zaman bujang pada akhir tahun ini.

Selain menunggang Sania juga aktif dengan sukan American Flag Football sejak 2016 dan akan melakukan latihan pada setiap minggu. Demi memastikan kelancaran, Sania sering menjaga motosikalnya dengan menghantar servis dan penyelenggaraan tepat pada masanya dengan anggaran kos sekitar RM400.

"Sesiapa yang berminat dengan aktiviti menunggang, saya sarankan terus sahaja lakukan aktiviti ini dengan mula menyesuaikan dengan saiz motosikal yang ingin dibeli.

"Saya turut mempunyai beberapa rakan wanita yang pada awalnya takut-takut, lalu dibawa mereka membonceng motosikal saya dan kemudian terus timbul minat untuk mencuba," katanya.

Meskipun bertubuh kecil, namun ia tidak menghalang Siti Asmah memiliki motosikal KTM RC 390 yang dibeli pada 2018.

Pada mulanya dia inginkan kelainan aktiviti dan melihat aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam kalangan wanita seakan menarik dan berkeinginan untuk mencuba lalu memutuskan membeli sebuah motosikal.

"Motosikal ini dipilih kerana agak kurang wanita menunggang motosikal street dengan fairing lalu memilih model ini selain sesuai untuk ketinggian saya selain rekaannya yang sporty," katanya.

Siti Asmah yang juga dikenali Miss M memiliki saluran Youtube sendiri menjadi moto vlogger dalam berkongsi minat kepada orang ramai.

Dia banyak berkongsi maklumat berkaitan aktiviti tunggangan untuk kelabnya KTM Ladies Crew yang aktif dengan aktiviti konvoi pada hujung minggu.

Namun, pengalaman pahit untuknya ialah apabila motosikalnya itu hilang dicuri pada 2020 menjadikannya seperti langsung hilang punca.

"Ketika hilang di sebuah pusat beli-belah di Bangi, saya banyak dibantu rakan kelab motosikal yang menularkannya dalam proses pencarian dan akhirnya selepas seminggu motosikal dijumpai di tepi jalan raya di Cheras.

"Ketika tempoh hilang adalah tempoh yang sukar, namun rakan banyak membantu memberikan dorongan, semangat dan usaha mencari sehinggalah dijumpai Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya yang bertugas sebagai Penganalisis Kandungan Media Kanan di syarikat e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 9:42 AM