Amran (kiri)   pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena  OIC ke-13.
Amran (kiri) pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena OIC ke-13.
Tuan Asri Tuan Hussein melaporkan dari Turki

Istanbul: Kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini, menzahirkan komitmen tinggi Malaysia untuk terus berperanan secara aktif dalam pertubuhan itu dalam menangani pelbagai cabaran umat Islam masa kini.

Di sebalik isu ancaman keselamatan yang melatari persidangan berikutan insiden serangan bom bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak tiba pagi ini untuk mengetuai delegasi Malaysia, diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Duta Malaysia ke Turki Datuk Amran Mohamed Zin berkata, penyertaan dalam Sidang Kemuncak ini memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk berkongsi pendirian dan pandangan Malaysia berhubung pelbagai isu dalam agenda OIC serta isu berkepentingan bersama umat Islam, khususnya rakyat Palestin.

Beliau berkata, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan secara peribadi mengundang Najib untuk menghadiri Sidang Kemuncak yang bermula hari ini sehingga Khamis dengan tema Perpaduan dan Penyatuan Demi Keadilan dan Keamanan.

“Penyertaan dalam sidang kemuncak ini juga akan membolehkan Perdana Menteri dan pemimpin OIC lain memberi fokus kepada tugas serta tanggungjawab bagi memupuk matlamat bersama ke arah menyelesaikan cabaran dunia Islam.

“Sebagai satu daripada negara pengasas OIC, Malaysia sentiasa menyokong usaha bagi mentransformasikan pertubuhan ini supaya mampu menjadi ejen perdamaian dan pembangunan yang lebih efektif untuk negara anggota serta umat Islam keseluruhannya,” katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Istanbul, di sini, semalam.

Ini kali pertama Turki menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak OIC dan Malaysia berpengalaman memegang tanggungjawab itu ketika persidangan kesembilan pada 2013.

Amran berkata, 56 daripada 57 negara anggota OIC menyertai Sidang Kemuncak kali ini yang dijadualkan berakhir dengan pengisytiharan empat dokumen iaitu Pernyataan Bersama, Resolusi berkaitan Palestin dan Al-Quds Al-Shariff, Pelan Tindakan 10 Tahun OIC (2016-2025) dan Deklarasi Istanbul.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak, jadual dua hari di sini akan turut diisi Najib dengan merasmikan ruang istirahat penumpang di Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gokcen yang dimiliki dan diurus Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Program itu berlangsung sejurus ketibaan beliau di lapangan terbang berkenaan dan Najib turut diberi taklimat mengenai perkembangan terkini projek pembesaran balai berlepas.

Pada tengah hari, beliau dijadual menyaksikan majlis penyempurnaan pembelian dan pemindahan saham antara Gama Enerji A.S kepada anak syarikat TNB, Global Power Energy.

Isteri beliau pula mempunyai atur cara berasingan dengan menghadiri dan menyampaikan ucapan dan berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani ancaman kanser pada sesi khas mengenai kawalan penyakit kanser, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 7:31 AM