Najib diiringi Rosmah menandatangani potret Lapangan Terbang Antarabangsa ISG selepas merasmikan ruang istirahat baru, semalam.
Najib diiringi Rosmah menandatangani potret Lapangan Terbang Antarabangsa ISG selepas merasmikan ruang istirahat baru, semalam.
Tuan Asri Tuan Hussein melaporkan dari Turki

Istanbul: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken (ISG), di sini, memperuntukkan pelaburan strategik 20 juta Euro bagi pembesaran lapangan terbang itu, sekali gus meningkatkan keupayaan pengendalian penumpang kepada 41 juta berbanding 33 juta sekarang.

Pengalaman dan kepakaran 15 tahun mengendalikan sembilan lapangan terbang di luar negara bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh MAHB untuk memastikan pengendalian ISG yang kini berstatus lapangan terbang kedua terbesar di Turki menepati piawaian disasarkan.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata, projek terkini MAHB itu dijangka siap sepenuhnya pada 2018 dan ia selaras seruan kerajaan supaya lebih banyak syarikat milik kerajaan melabur di luar negara.

“ISG adalah lapangan terbang kedua terbesar di Turki dan paling pesat membangun di Eropah sejak tujuh tahun lalu. Kedudukan geografi Istanbul yang begitu strategik memberi kelebihan kepada MAHB menarik pasaran penumpang dari India, Timur Tengah dan Afrika,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tiba di sini, semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13.

Turut hadir, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Najib disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Duta Malaysia ke Turki, Datuk Amran Mohamed Zin serta Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Selepas taklimat, Perdana Menteri mengambil masa kira-kira 15 minit meninjau sekitar ISG sebelum merasmikan ruang istirahat kelas perniagaan yang baharu di lapangan terbang itu.

Badlisham berkata, pembabitan MAHB di ISG bermula pada 2008 sebagai satu daripada rakan konsortium sebelum mengambil alih sepenuhnya operasi dan pengendalian lapangan terbang itu pada Disember 2014 dengan jumlah kakitangan pada masa ini 500 orang.

“Tahun lalu, ISG mengendalikan lebih 28 juta penumpang dan lapangan terbang ini mencatatkan peningkatan jumlah penumpang 20 peratus setahun,” katanya sambil menambah 56 syarikat penerbangan menggunakan lapangan terbang itu dengan 38 adalah penerbangan domestik manakala 108 lagi laluan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 7:16 AM