Husaini bersama Lambretta miliknya.
Husaini bersama Lambretta miliknya.
Husaini menunjukkan gambarnya bersama motosikal Lambretta pertama miliknya dalam Majalah Skuterama terbitan 2013.
Husaini menunjukkan gambarnya bersama motosikal Lambretta pertama miliknya dalam Majalah Skuterama terbitan 2013.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Kalau tak kenal maka tak cinta. Peribahasa itu menggambarkan ‘kegilaan’ seorang anak pemuda terhadap skuter klasik Lambretta sehingga sanggup membelanjakan sejumlah besar wang simpanan, semata-mata mahu membaiki dan mencantikkan kenderaan itu seperti diinginkan.

Sejak 2010 sehingga kini, Husaini Ibrahim, 34, sudah menghabiskan RM50,000 untuk memberi nafas baru kepada dua skuter buatan Itali miliknya yang dibeli daripada rakan.

Pembantu pejabat di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya itu juga tidak pernah berkira untuk menyimpan RM1,000 daripada wang gajinya setiap bulan bagi kepuasan hobinya itu.

Kreativiti Husaini berjaya membuatkan ramai terpegun melihat kenderaan keluaran 1962 dan 1963 itu yang sebelum ini tidak ubah seperti besi buruk.

Katanya, dia mula berminat dengan motosikal lama atau vintaj selepas menonton filem Quadrophenia yang mengisahkan budaya mod di United Kingdom pada 2003.

Husaini berkata, budaya mod ialah sub budaya dari British yang tampil ‘trendy’ dengan gaya pakaian serta menggunakan Lambretta.

“Sejak daripada itu, saya pasang angan-angan untuk memiliki skuter ini dan gembira apabila ada rakan dari Klang sudi menjualnya kepada saya.

“Ini Lambretta kedua saya, dibeli dua tahun lalu dengan harga RM8,000. Kenderaan ini saya baik pulih termasuk mengecat dan aksesorinya sama seperti Lambretta dalam filem berkenaan,” katanya.

Katanya, minat terhadap motosikal dan skuter antik boleh dikatakan sebagai hobi mahal kerana kosnya agak tinggi terutama pada aksesorinya.

“Kesemua aksesori ini dibeli dari Itali secara dalam talian kerana hanya negara itu yang menjual barangan asli berbanding negara lain.

“Aksesori paling mahal pernah saya beli ialah kusyen berharga RM1,500,” katanya.

Bukan itu saja, Husaini berkata, ibunya pernah menentang hobinya kerana dilihat membazir tetapi kerana minat mendalam akhirnya berjaya memujuk ibunya.

Anak kelima daripada 11 adik beradik itu berkata, skuter berkenaan digunakan untuk tujuan bersantai dan pameran serta tidak bercadang menjualnya walaupun ditawarkan harga tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 7:29 AM