PAMERAN motosikal tentera klasik 3rd Malaysia Vintage and Classic Military Bike Day di Melaka baru-baru ini.
PAMERAN motosikal tentera klasik 3rd Malaysia Vintage and Classic Military Bike Day di Melaka baru-baru ini.
Nazri Abu Bakar


MOTOSIKAL tentera klasik Harley Davidson dihasilkan pada 1920 antara yang menjadi tarikan utama sempena 3rd Malaysia Vintage and Classic Military Bike Day yang diadakan di Melaka baru-baru ini.

Antara ciri menarik motosikal ini ialah pemegangnya persis pemegang basikal, selain hanya dilengkapi satu tempat duduk.

Ia mendorong minat ramai untuk memiliki motosikal berkenaan.

Namun demikian, pemiliknya, Kapten (B) Chua Giam Kheng enggan menjualnya.

Giam Kheng yang juga pengerusi program berkata, motosikal itu antara keluaran terawal Harley Davidson dan ciri klasiknya cukup menarik minat ramai untuk 'menggali' sejarah motosikal berkenaan.

"Saya membeli motosikal ini daripada pemilik di luar negara lebih 30 tahun lalu namun saya tidak akan menjualnya walaupun ditawarkan harga lumayan.

"Motosikal ini cukup unik, malah sukar dicari ganti. Model ini juga sudah lama dihentikan pengeluaran.

"Tambahan pula, saya sudah keluarkan belanja besar untuk memastikan motosikal ini terus berfungsi dan boleh ditunggang dengan selesa," katanya.

SEBAHAGIAN peserta pameran bergambar beramai-ramai.
SEBAHAGIAN peserta pameran bergambar beramai-ramai.

Malah, menurutnya, dia memerlukan seorang pakar dari Indonesia untuk membantunya berkaitan keperluan penjagaan motosikal berkenaan.

"Pada program ini juga, banyak motosikal klasik lain turut dipamerkan seperti model F-Harley Davidson, BSA B50, Norton 18 dan ES2, Yamaha XT 500 BSA, Ariel, Triumph, Royal Enfield, Vespa dan Lambretta.

"Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai jenis basikal tentera dan zaman perang selain artifak Perang Dunia Kedua," katanya.

Pemilik motosikal BSA WM20 1942, Azmi Arshad, 64, dari Klang, Selangor berkata, ini kali ketiga dia menyertai program berkenaan.

"Saya beli motosikal ini di Thailand lebih 10 tahun lalu pada harga RM5,000.

 MOTOSIKAL tentera klasik Harley Davidson buatan 1920.
MOTOSIKAL tentera klasik Harley Davidson buatan 1920.

"Saya sentiasa memastikan enjin motosikal ini sentiasa dalam keadaan baik kerana sukar untuk mendapatkan alat ganti, selain harganya juga mahal," katanya.

Menurutnya, setakat ini, dia dapat berkonvoi bersama rakan-rakan dengan menunggang motosikal berkenaan ke Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Menurut Azmi, dia memiliki kepakaran membaiki motosikal dan boleh memasang sendiri alat ganti seterusnya menjimatkan kos upah.

Sementara itu, Abu Bakar Jewol, 59, yang juga pemilik motosikal Royal Enfield 1948 buatan England berkata, jentera itu masih dalam keadaan baik kerana dia sentiasa memastikan tiada kerosakan besar berlaku dengan mengekalkan ciri-ciri asal pembuatannya.

"Motosikal ini sudah saya gunakan sejak lebih 20 tahun lalu. Ia memang selesa selain serasi dengan saya.

"Setakat ini, saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada mendapat tawaran tinggi daripada beberapa pihak," katanya.

Baginya, hobi memiliki motosikal tentera klasik amat bermakna kerana melaluinya, dia mengenali ramai individu yang sealiran jiwa dengannya.

"Selain menambah rakan dari seluruh dunia, ia juga menguatkan lagi silaturahim dalam kalangan peminat serta pemilik motosikal tentera klasik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 6:12 AM