PEROKOK antara golongan berisiko menghidap penyakit tibi.
PEROKOK antara golongan berisiko menghidap penyakit tibi.
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Kes kematian akibat batuk kering atau tibi (tuberkulosis) merekodkan peningkatan 5.8 peratus atau 93 kes sepanjang 2015, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, walaupun jumlah keseluruhan kes tibi menurun dua peratus tahun lalu iaitu 24,220 berbanding 24,711 pada 2014, namun jumlah kematian meningkat kepada 1,696 berbanding 1,603 kematian pada 2014.

“Bagi mengurangkan penularan tibi, kementerian mengambil inisiatif melakukan saringan penyakit tibi terhadap golongan berisiko seperti pesakit HIV, perokok, pesakit diabetes, pesakit kegagalan fungsi buah pinggang (renal failure) dalam rawatan dialisis, pesakit sekatan pulmonari kronik (COPD), warga emas berumur 60 tahun ke atas dan penghuni pusat koreksional seperti penjara dan Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC).

“Sepanjang 2015, 253,955 golongan berisiko disaring menggunakan sinar ray,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Hari Tibi Sedunia 2016 di sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata, kementerian juga sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit tibi dan masyarakat termasuk membekalkan 10 mesin gen eX-pert yang berupaya mengesan kes ‘Drug-Resistant Tibi’ dengan lebih cepat di hospital terpilih di seluruh negara.

Menurut beliau, dua bas bergerak sinar-x yang pertama di Malaysia juga sudah disediakan dan ditempatkan masing-masing di Sabah serta Sarawak supaya lebih banyak golongan berisiko tinggi tibi dapat disaring.

“Bagi menangani penularan tibi, pesakit perlu mengambil ubatan mengikut jadual ditetapkan seperti pesakit tibi paru-paru perlu mengambil ubat setiap hari selama sekurang-kurangnya enam bulan.

“Tahun lalu, 78 peratus iaitu 16,493 pesakit sembuh dan menyempurnakan rawatan tibi, namun 1,256 pesakit tidak meneruskan rawatan malah mereka berpotensi menyebarkan kuman tibi kepada orang ramai.

“Sehubungan itu, ahli keluarga pesakit dan komuniti setempat perlu memainkan peranan penting memberi sokongan moraldan semangat supaya pesakit dapat menamatkan rawatan sehingga sembuh,” katanya.

Dr Subramaniam berkata, tanggungjawab mengesan dan merawat penyakit tibi bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata, namun agensi lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengajian Tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan tempatan turut memainkan peranan dalam memberi kesedaran juga kefahaman kepada masyarakat mengenai bahaya penyakit tibi jika tidak dirawat.

Katanya, mereka yang mempunyai tanda penyakit tibi seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah perlu tampil ke klinik kesihatan dan hospital berhampiran bagi pemeriksaan kesihatan serta melakukan ujian saringan.

“Malaysia komited dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kempen ‘Menamatkan Epidemik Tibi’ menjelang 2035 dengan penurunan kadar insiden tibi 90 peratus dan 95 peratus jumlah kematian tibi menjelang tahun berkenaan.

“Kementerian dalam proses menyediakan dan melaksanakan Pelan Strategik Kawalan Tibi Kebangsaan 2016-2020 dengan tumpuan utama memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit tibi,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, ia juga bagi memperkukuhkan polisi sedia ada dan meningkatkan kajian serta inovasi bagi pencegahan penyakit tibi.

“Menerusi kerjasama semua pihak, kita mampu mengawal penyakit ini menjelang 2035,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 10:08 AM