BERNAMA

Kuala Lumpur: Berita palsu berkaitan penularan penyakit tuberculosis atau tibi di Cheras di sini, yang tersebar baru-baru ini sedikit-sebanyak mencetus kegusaran masyarakat jika dijengah ke laman media sosial.

Namun jaminan diberi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bahawa jangkitan penyakit boleh membawa maut itu terkawal di negara ini meredakan keresahan orang ramai, sekalipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah melaporkan kes tibi dunia kembali meningkat selepas bertahun-tahun merekodkan penurunan.

WHO yang menyasarkan 2035 sebagai tahun dunia bebas tibi menganggarkan kematian akibat penyakit itu meningkat 14 peratus dalam dua tahun kepada 1.6 juta mangsa pada 2021.

Dilaporkan, antara punca peningkatan kes tibi atau batuk kering kerana pandemik Covid-19 yang mengganggu akses kepada diagnosis dan rawatan tibi.

Malaysia juga tidak terkecuali, merekodkan pertambahan jangkitan dalam beberapa tahun ini dengan 25,391 kes dilapor pada 2022, meningkat 3,664 kes atau 17 peratus berbanding 21,727 kes pada 2021.

Di sebalik peningkatan kes, angka dilaporkan oleh negara ini lebih rendah berbanding anggaran WHO untuk Malaysia iaitu 30,000 kes setahun.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini dilihat mengambil pelbagai pendekatan termasuk merangka Pelan Strategik Nasional untuk Menamatkan Tibi (2021-2030) bagi memastikan negara melangkah seiring dengan sasaran WHO.

Berbaki 12 tahun sebelum sasaran dunia bebas tibi direalisasi, peningkatan kes jangkitan masa ini menimbulkan tanda tanya sama ada Malaysia mampu mencapai matlamat WHO dalam tempoh ditetapkan.

Mengulas tentang hal itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Kawalan Tibi/Kusta, Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Asmah Razali berkata, antara ancaman utama KKM dan masyarakat dalam membasmi penyakit itu ialah kes tibi terpendam (Laten TB).

Jelas beliau, bahaya kes sedemikian ialah si penghidap tidak menunjukkan simptom, sekali gus menyukarkan rawatan.

"Oleh sebab itu menerusi Pelan Strategik Nasional untuk Menamatkan Tibi kita tekankan prinsip scan (kesan), screening (saringan) dan prevent (cegah).

"Melalui langkah ini, kita cuba kesan individu mempunyai tibi terpendam menerusi saringan dibuat, kerana kebanyakannya tidak menunjukkan gejala meskipun dijangkiti kuman berkenaan disebabkan sistem imun mereka masih kuat," jelasnya.

WHO mendefinisikan jangkitan tibi pendam sebagai keadaan apabila tubuh individu dijangkiti menghasilkan tindak balas imun berterusan terhadap rangsangan antigen mikrobakterium tuberkulosis tanpa gejala klinikal.

Bercerita lanjut, Dr Asmah berkata, kuman tibi boleh hidup atau kekal hidup di dalam tubuh manusia dalam keadaan dorman atau fasa tidak aktif selama bertahun-tahun.

Akan tetapi, dalam tempoh tertentu, kuman terbabit mula aktif dalam badan individu itu, didorong pelbagai faktor termasuk peningkatan usia, gejala penyakit berisiko atau menghidap HIV.

Apabila kuman tersebut aktif, pesakit mula tunjukkan gejala antaranya batuk berterusan lebih dua minggu, demam lewat petang, menggigil, keletihan serta penurunan berat badan secara mendadak.

"Untuk penyelesaian jangka pendek, apa yang kita buat kesan individu yang mempunyai tibi pendam dengan melakukan saringan di beberapa lokaliti dikenal pasti, di mana mudah kuman tibi ini merebak antaranya di depot tahanan dan institusi penjara.

"Langkah ini perlu kerana ada kes pesakit bertahun-tahun mempunyai kuman tibi dalam badan dan mereka lewat menerima rawatan kerana tidak menyedari dijangkiti kuman tersebut,'' katanya.

Jelas beliau, semakin lewat pesakit tampil mendapatkan rawatan, semakin tinggi risiko penyakit dijangkitkan kepada orang lain.

Selepas kes disahkan, KKM katanya, akan melaksanakan program saringan mengesan kontak yang berinteraksi dengan kes indeks (pesakit pemula) supaya dapat mencegah penularan.

"Saringan termasuk ahli keluarga sendiri kerana kebanyakan kes tibi jangkitan ahli keluarga terdekat. Dari situ kita cuba kesan mereka yang mempunyai tibi pendam kerana kita tidak mahu selepas 10 atau 15 tahun baru mereka didiagnosis sebagai pesakit tibi," katanya.

Dari segi kematian akibat tibi, Dr Asmah berkata, untuk tahun ini setakat 11 November lalu, 2,408 kes dilapor di negara ini.

Berbeza dengan cakap-cakap di luar sana bahawa kemasukan semula pekerja asing ke negara ini punca pertambahan kes tibi, Dr Asmah berkata, data KKM menunjukkan warga asing mewakili 15 peratus daripada keseluruhan kes batuk kering tahun lalu.

"Apabila mereka masuk secara sah, mereka melalui saringan kesihatan atau pre- entry screening dilakukan Fomema (Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing). Saringan dilakukan sebelum (mereka) memasuki Malaysia dan sejurus tiba di negara ini.

"Jika disyaki ada tibi atau penyakit jangkitan lain, mereka tidak dibenar bekerja di Malaysia. Cuma jadi kebimbangan kita ialah kumpulan masuk secara haram dan kita tidak tahu status kesihatan mereka.

"Mereka ini bebas bergaul dengan warga tempatan. Jadi apabila merekaberpenyakit tibi, secara tidak langsung boleh menjadi punca kepada penularan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Asmah menyeru supaya individu disahkan sebagai berpenyakit tibi terus menerima rawatan, sekurang-kurangnya enam bulan, walaupun pesakit sudah sihat dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, pesakit tibi perlu bertanggungjawab untuk menghabiskan rawatan termasuk mengambil ubat seperti disyorkan doktor.

Katanya, kegagalan pesakit mengambil rawatan boleh menyebabkan kuman tibi menjadi mangli atau rintang kepada ubat tibi.

Jika berlaku, hal ini bukan saja membahayakan pesakit tetapi turut mengancam kesihatan orang di sekeliling mereka.

"Pesakit yang berhenti atau tidak mahu meneruskan rawatan berdepan dengan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. KKM akan cari dan kesan mereka yang meninggalkan rawatan (separuh jalan)," katanya.

KKM sebelum ini menubuhkan pasukan Mychampion iaitu sukarelawan di bawah kementerian berkenaan bagi membantu mengesan mereka yang berhenti mendapatkan rawatan tibi.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tanggungjawab menangani penyakit tibi tidak seharusnya diletak di bahu KKM semata-mata jika negara mahu memenuhi hasrat WHO mencapai negara bebas tibi menjelang 2035.

Katanya, semua pihak harus memainkan peranan bagi merealisasi matlamat berkenaan.

Bagi mengawal penularan tibi, orang ramai katanya boleh menerima guna prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti berpelitup muka di tempat awam selain elak berada di kawasan sesak.

Beliau berkata, sepertimana virus Covid-19, kuman tibi merebak melalu udara dan air liur.

"Penggunaan pelitup muka pada waktu ini dilihat penting, terutamabuat individu mengalami simptom tertentu termasuk batuk dan demam.

"Selain itu, pesakit tibi harus prihatin terhadap orang lain dengan mengasingkan diri mereka, jangan berkumpul serta kurangkan interaksi dengan orang lain,'' nasihat beliau.

Menurut Dr Zainal Ariffin, pemberian imunisasi BCG kepada bayi baru lahir turut memberi perlindungan terhadap meningitis tibi hingga 80 peratus menerusi rangsangan sistem imun bayi.

"Tidak terkecuali, majikan juga diingatkan agar menyediakan persekitaran bersih dan tidak sesak, bukan sahaja untuk pekerja tempatan tetapi juga warga asing," tegas beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 7:02 AM