BATUK berpanjangan melebihi dua minggu antara petanda utama tibi.
BATUK berpanjangan melebihi dua minggu antara petanda utama tibi.
Dr Noorsuzana Mohd Shariff


SEDAR atau tidak, dalam kepantasan Malaysia mengejar kemodenan dan kemajuan teknologi, isu kesihatan berkaitan penyakit berjangkit masih menjadi isu yang tidak berpenghujung.

Selain peningkatan kes penyakit berpunca daripada gaya hidup seperti obesiti dan diabetes, antara penyakit berjangkit masih kekal hingga ke hari ini adalah tibi.

Tibi atau batuk kering boleh diibaratkan api dalam sekam memberikan bebanan amat besar ke atas pesakit sama ada dari segi fizikal, mental mahupun sosial.

Penyakit itu menuntut kos perbelanjaan negara yang besar dalam pengurusan rawatan penyakit sebaran udara ini.

Wujud di Malaysia sejak 1940-an lagi. Ketika itu, tibi menjadi antara penyakit berjangkit amat digeruni kerana rawatannya masih belum ditemui dan setiap pesakit yang dijangkiti kuman Mycobacterium tuberculosis iaitu agen penyebab tibi akan menemui ajal.

Oleh itu, pendekatan yang diamalkan pada ketika itu mengasingkan pesakit tibi di beberapa pusat rawatan atau sanatorium di Malaysia, antaranya di Pusat Tibi Negara, Kuala Lumpur, yang kini dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori.

Rawatan kemoterapi bagi merawat tibi hanya mula ditemui pada 1946 dengan penemuan streptomisin dan diikuti pengenalan isoniazid sebagai ubat antitibi barisan pertama yang efektif pada 1952.

Keganasan tibi dalam menyebabkan kematian dan isolasi pesakit tibi jauh daripada keluarga dan masyarakat pada zaman dahulu sedikit sebanyak membina satu pemikiran stereotaip dan stigma negatif terhadap pesakit tibi.

Malangnya selepas puluhan tahun, hingga ke hari ini stigma itu masih wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Stigma Terhadap Tibi

Stigma, menurut istilah Dewan Bahasa dan Pustaka, ditafsirkan sebagai perasaan aib dialami oleh individu

dan keluarganya.

Dalam konteks ini, pesakit tibi, keluarga dan orang-orang terdekat dengannya.

Stigma sebenarnya amat berkait dengan kurang faham masyarakat mengenai penyakit tibi dan kemajuan rawatan pada hari ini.

Antara salah faham itu adalah penyakit ini tidak boleh sembuh, tibi terjadi akibat maksiat dan gaya hidup tidak sihat, pesakit tibi perlu dijauhi dan pesakit tibi tidak boleh bekerja.

Perasaan aib dan takut disisih bermula apabila pesakit menunjukkan tanda dijangkiti tibi seperti batuk berterusan melebihi dua minggu, penurunan berat badan secara mendadak, kurang selera makan, berpeluh pada waktu malam dan menggigil.

HANIS bersama dua anaknya.
HANIS bersama dua anaknya.

Jika dahulu tibi lebih tertumpu kepada kumpulan sosioekonomi yang rendah, banduan yang tinggal di penjara dan pesakit HIV, namun kini dengan peningkatan aktiviti masyarakat berhubung dalam komuniti, bermigrasi antara negeri dan berimmigrasi ke luar negara, maka hari ini sesiapa saja mempunyai risiko untuk dijangkiti tibi.

Malah, kebanjiran warga asing dari negara dengan kadar tibi tinggi seperti Myammar, Indonesia dan Filipina ke negara kita antara faktor insiden tibi kekal tinggi di Malaysia.

Impak Stigma Tibi di Malaysia

Akibat takut stigma sekiranya disahkan menghidap tibi, ada individu memilih untuk tidak tampil mendapatkan saringan dan rawatan di klinik kesihatan sebaliknya berpaling kepada rawatan tradisional dan alternatif.

Hal ini menyebabkan tempoh kelewatan diagnosis bertambah dan rawatan awal tidak dapat dimulakan.

Akibatnya, pesakit tibi aktif terus menyebarkan kuman tibi pada orang-orang di sekelilingnya.

Kesannya, jangkitan sedia ada menjadi semakin serius, sekali gus menyukarkan proses rawatan dan meningkatkan kadar kes tibi pada masa akan datang.

Tidak hanya impak berbentuk fizikal, stigma yang mengaburi pesakit tibi turut sama memberi kesan terhadap ekonomi dan sosial seseorang pesakit.

Berdasarkan perkongsian pengalaman dengan pesakit tibi rakyat tempatan, sebaik saja diagnosis tibi, dia diberhentikan kerja dan dipulaukan rakan sekerja kerana takut dijangkiti.

Malah, ada antara rakan sekerja yang tidak berpuas hati kerana terpaksa hadir ke klinik untuk saringan kontak tibi yang secara tidak langsung menyebabkan mereka terpalit dengan stigma negatif berkenaan.

Diskriminasi yang wujud ini memberi kesan terhadap kesediaan mereka yang mengalami gejala tibi untuk tampil menjalani pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dan mendapatkan rawatan antitibi di klinik kesihatan berhampiran.

Selain itu, pesakit dibayangi stigma dikatakan akan mempunyai risiko lebih tinggi untuk cicir rawatan antitibi yang diberikan selama enam bulan tanpa henti berbanding pesakit yang memperoleh sokongan daripada keluarga dan komuniti terdekat.

Perlu diingat, tibi adalah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat.

Antara formula terbaik menghentikan dan mengawal jangkitan tibi dengan memberi rawatan awal melalui konsep ‘Tampil, Kesan dan Rawat’.

Masyarakat tidak seharusnya malu atau takut sekiranya didiagnosis sebagai pesakit tibi.

Ini kerana pengesanan, rawatan awal dan kepatuhan rawatan oleh pesakit akan memberikan impak yang besar dalam menghentikan penularan penyakit ini dalam masyarakat pada masa akan datang agar kita dapat mencapai sasaran Malaysia Tanpa Tibi menjelang 2035. Ayuh, inilah masanya!

Penulis adalah pensyarah Kesihatan Masyarakat dari Kluster Sains Gaya Hidup, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 6:01 AM