BAKTERIA mikrobakterium tuberkulosis ejen penyebab tibi.
BAKTERIA mikrobakterium tuberkulosis ejen penyebab tibi.
Dr Noorsuzana Mohd Shariff

MALAYSIA masih 'berperang' menangani penyakit berjangkit sebaran udara dan partikel titisan yang menyerang paru-paru iaitu tibi batuk kering.

Penyakit ini penyumbang punca kematian tertinggi di Malaysia berbanding penyakit berjangkit lain.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan tibi atau tuberculosis adalah penyakit berjangkit kedua tertinggi selepas penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Data KKM 2018 merekodkan 81 kes tibi baharu dikesan di negara ini bagi setiap 100,000 populasi.

Antara faktor utama peningkatan penyakit itu setiap tahun ialah kerana kurang kesedaran masyarakat mengenai tibi, stigma yang mengaburi penyakit ini dan peningkatan kes tibi pendam (latent tuberculosis).

Ini memberi kesan kepada peningkatan kes yang tidak dapat atau lewat dikesan.

Semakin lewat masa yang diambil pesakit untuk tampil mendapatkan rawatan, semakin tinggi risiko penyakit ini disebarkan kepada orang lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan jangkitan tibi pendam sebagai satu keadaan apabila tubuh individu dijangkiti menghasilkan tindak balas imun berterusan terhadap rangsangan oleh antigen mikrobakterium tuberkulosis tanpa sebarang gejala klinikal.

Tibi pendam boleh terjadi apabila individu dijangkiti ejen penyebab tibi (mikrobakterium tuberkulosis) terdedah secara berterusan melebihi lapan jam sehari dengan pesakit tibi aktif.

Setelah dijangkiti kuman tibi, kuman ini memiliki satu kebolehan unik untuk kekal hidup di dalam tubuh manusia dalam keadaan dorman iaitu fasa tidak aktif selama bertahun-tahun.

Antara tempat yang paling kerap dijangkiti ialah paru-paru.

UJIAN Mantoux dilakukan untuk menyiasat sama ada individu dijangkiti bakteria tibi atau sebaliknya.
UJIAN Mantoux dilakukan untuk menyiasat sama ada individu dijangkiti bakteria tibi atau sebaliknya.

Uniknya penyakit ini ialah pesakit tibi terpendam yang mempunyai sistem imun badan yang baik tidak akan mengalami sebarang gejala selepas dijangkiti kuman berkenaan.

Namun, hingga tempoh tertentu akan timbul masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, HIV atau faktor peningkatan usia, kuman tibi yang kekal hidup, tetapi berada dalam keadaan dorman di dalam badan individu yang dijangkiti akan mula aktif menyerang.

Ketika itu, pesakit mula menunjukkan gejala seperti batuk berpanjangan lebih dua minggu, demam lewat petang, berpeluh waktu malam, menggigil, keletihan, sakit dada ketika bernafas, batuk berkahak dengan calitan darah dan penurunan berat badan secara mendadak.

Pesakit tibi pendam tidak boleh menjangkiti orang lain, tetapi mempunyai risiko yang tinggi untuk bertukar menjadi tibi aktif pada masa akan datang.

Secara purata, individu dengan jangkitan tibi pendam akan mula menunjukkan gejala tibi aktif dalam tempoh dua hingga lima tahun.

Setelah jangkitan terjadi, bermakna individu ini mempunyai lima hingga 10 peratus risiko untuk menjadi tibi aktif sepanjang tempoh hayatnya.

Sebab itu, penting bagi individu yang pernah terdedah dengan pesakit tibi, supaya mendapatkan saringan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital terdekat agar rawatan tibi pendam dapat dimulakan dengan segera.

Saringan tibi pendam dilakukan ke atas individu yang disenaraikan oleh pesakit tibi aktif sebagai kontak utama, contohnya ahli keluarga atau rakan sekerja terdekat.

Perhatian yang lebih perlu diberikan kepada kontak yang terdiri daripada individu mempunyai jangkitan HIV positif, bayi dan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Individu yang disenaraikan ini akan diminta datang ke klinik kesihatan kerajaan berhampiran untuk menjalani ujian 'Mantoux'.

Ujian Mantoux ialah ujian menggunakan suntikan cecair tuberkulin iaitu sejenis protein diekstrak daripada kuman tibi yang dinyah kuman.

Suntikan ini diberikan di bawah lapisan kulit lengan.

Selain kontak terdekat pesakit tibi, saringan mengesan pesakit tibi pendam dan rawatan awal penyakit itu sangat perlu dilakukan terhadap pesakit yang berisiko tinggi menjadi pesakit tibi aktif.

Ia dilakukan meskipun mereka tiada sejarah terdedah secara langsung dengan pesakit tibi.

Penulis pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 6:30 AM