Pondok dipercayai digunakan untuk menghisap dadah dalam ladang sawit.
Pondok dipercayai digunakan untuk menghisap dadah dalam ladang sawit.
Oleh Adnan Ibrahim


Kluang: Kawasan ladang sawit terpencil di Simpang Renggam di sini, yang menjadi ‘sarang’ aktiviti penagihan dadah sejak beberapa bulan lalu digempur pihak berkuasa.

Operasi dilakukan polis bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) jam 6 petang Khamis lalu sebelum lima lelaki termasuk pengedar diberkas.

Polis merampas enam peket plastik lut sinar berisi heroin dengan berat 78.25 gram.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, pihaknya merampas sembilan peket syabu lebih 125 gram.

Menurutnya, dadah bernilai RM21,000 itu menampung keperluan 679 penagih tegar.

“Seorang lelaki berusia 27 tahun disyaki pengedar diberkas. Turut ditahan empat lelaki berusia 23 hingga 48 tahun.

“Siasatan polis dan AADK mendapati lelaki 27 tahun itu mula mengedar dadah di Simpang Renggam sejak tiga bulan lalu, selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

“Suspek direman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, pihak polis mengalu-alukan maklumat orang ramai berhubung kegiatan penagihan dadah di daerah ini dalam usaha memastikan Kluang bersih daripada kegiatan tidak bermoral.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 8:58 AM