DADAH dirampas daripada seorang penoreh getah di Gemas, Sabtu lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
DADAH dirampas daripada seorang penoreh getah di Gemas, Sabtu lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


PERNAH beberapa kali menjalani hukuman penjara dan rawatan pemulihan.

Malangnya semua itu tidak menginsafkan lelaki berusia 49 tahun yang masih meneruskan kegiatan mengedar dadah.

Terbaru, lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah itu bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, suspek yang mempunyai 13 rekod lampau jenayah dan dadah ditahan di Gemas, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, suspek ditahan ketika sedang menjalankan urusan jual beli dadah bersama seorang lelaki yang turut menjadi buruan polis.

“Pada awalnya, lelaki itu cuba melarikan diri namun gagal dan diberkas. Pemeriksaan polis menemui 21 peket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 28.40 gram.

“Siasatan mendapati, suspek mendapatkan bekalan dadah dari Krubong, Melaka dan bergiat aktif sejak sebulan lalu di sekitar kawasan FELDA Sungai Kelamah dan FELDA Bukit Jalor.

“Bekalan dadah dirampas itu mampu menampung kegunaan lebih 30 penagih," katanya.

Ramli berkata polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC 135 milik suspek mengikut Seksyen 4 Akta Perlucuthakkan Harta 1988.

Beliau berkata, selain berdepan hukuman gantung sampai mati, suspek turut berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup serta 15 sebatan.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula semalam sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 2:15 PM