ANTARA barangan yang disumbangkan NGO kepada pelarian Rohingya di Arakan.
ANTARA barangan yang disumbangkan NGO kepada pelarian Rohingya di Arakan.
AHMAD Tarmizi (dua dari kiri) bersama penduduk kampung di Arakan.
AHMAD Tarmizi (dua dari kiri) bersama penduduk kampung di Arakan.
Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Dengan niat membantu masyarakat Islam yang tertindas di Rakhine, Myanmar, dua pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) bekerjasama dalam misi kemanusiaan di wilayah itu, baru-baru ini.

Selama seminggu, 12 sukarelawan kedua-dua pertubuhan itu membawa bersama bantuan sumbangan rakyat Malaysia sebelum diagihkan kepada mereka yang begitu memerlukan.

Selain mengagihkan bantuan, kedua-dua NGO itu juga memberi fokus kepada pembinaan sekolah, masjid dan telaga bagi membantu penduduk untuk membina kembali kehidupan mereka yang musnah akibat konflik pada 2012.

Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, lebih 2,000 guni pek makanan diedarkan di beberapa kampung di Arakan yang begitu daif dan hanya mengharapkan bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, berbeza dengan misi sebelum ini, sukarelawan MAPIM dan Muslim Care berkesempatan melihat sendiri perkampungan Mrauk-u yang mengambil masa tiga jam perjalanan dari Sittwe, Myanmar.

“Sebaik tiba di sana, kami berpecah kepada beberapa kumpulan kecil bagi memudahkan pemberian bantuan dengan ada yang fokus kepada perubatan, melawat tapak projek sekolah dan masjid, tapak pembinaan telaga serta mengagihkan barangan keperluan asas.

“Keadaannya begitu teruk dengan kemudahan infrastruktur yang begitu ketinggalan serta pembangunan yang tidak sekata. Lebih 90 peratus penduduk di kawasan itu beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, turut sama dalam misi itu adalah penyumbang yang mahu melihat prospek ikhtiar hidup di kawasan itu bagi membolehkan penduduk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Katanya, selepas ini, MAPIM dan NGO lain seperti Muslim Care akan terus membantu melalui tabung kemanusiaan yang ditubuhkan dan berharap masyarakat Malaysia akan turut serta memberikan sumbangan.

“Memang wujud keperluan untuk membantu mereka di sini. Insya-Allah kita akan terus menjayakan misi akan datang. Mudah-mudahan Allah membantu kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:28 AM