Oleh Na’imah Mohamed

Sungai Besar

Amaran ancaman pengganas Daesh dikeluarkan kerajaan Australia bukan dikhususkan kepada Malaysia sahaja, tetapi turut dikeluarkan terhadap negara lain yang berisiko.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, amaran itu turut ditujukan ke negara lain yang turut terancam kehadiran ekstremis agama seperti pengganas Daesh.

“Cumanya, amaran itu diberikan kepada mereka yang mahu ke Malaysia sedangkan pelancong yang mahu ke Perancis juga mendapat amaran sama,” jelasnya selepas membuat lawatan di Inap Desa Kampung Sungai Haji Dorani di sini, semalam.

Menurutnya, kawalan keselamatan di negara ini diperketatkan terutama di kawasan tumpuan pelancong sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Tambahnya, meskipun terdapat ancaman pengganas serta tragedi dua kapal terbang hilang dan ditembak jatuh pada tahun 2013 lalu, ia tidak menjejaskan industri pelancongan di negara ini.

Kelmarin, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia menyatakan serangan sembarangan mungkin dilakukan di Malaysia dan mungkin mensasarkan kepentingan Barat atau lokasi yang sering dikunjungi orang Barat.

Kenyataan itu menasihatkan rakyat Australia supaya menimbang semula keperluan pergi ke kawasan pantai timur Sabah.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut menggalakkan perkampungan Cina di negara ini membuka inap desa di penempatan mereka untuk menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Malaysia menyasarkan untuk menarik seramai 30.5 juta pelancong untuk melancong ke dalam negara tahun ini.

“Kita mahu penduduk Cina di negara ini jana pendapatan melalui inap desa, sekali gus memperkenalkan budaya dan juga gaya hidup mereka kepada pelancong luar.

“Pelancong datang bukan untuk menginap di hotel dan membeli-belah, mereka mahu mengenali dan merasa sendiri kehidupan masyarakat dan bangsa lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 8:26 AM