Nazri  mencuba meniup trompet daun kelapa ketika melakukan lawatan kerja ke Homestay Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto Roslin Mat Tahir
Nazri mencuba meniup trompet daun kelapa ketika melakukan lawatan kerja ke Homestay Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto Roslin Mat Tahir
Na'imah Mohamed


Tanjung Karang: Tindakan kerajaan Australia memberikan peringatan supaya berhati-hati dengan ancaman pengganas ketika melawat Malaysia tidak menjejaskan industri pelancongan negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, peringatan itu bukan dikhususkan kepada Malaysia sahaja.

"Sebenarnya amaran itu bukan diberikan terhadap negara kita saja, malah ianya untuk seluruh negara yang turut berasa terancam dengan kehadiran ekstremis agama seperti IS itu.

"Cumanya, amaran itu diberikan kepada mereka yang mahu ke Malaysia, sedangkan yang mahu ke Perancis juga sebenarnya mendapat amaran yang sama," katanya selepas melawat Inap Desa Kampung Sungai Haji Dorani, di sini, hari ini.

Semalam, penasihat perjalanan membuat siaran di laman web Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia menyatakan bahawa 'serangan rambang mungkin dilakukan di Malaysia dan mungkin mensasarkan kepentingan Barat atau lokasi yang sering dikunjungi oleh orang Barat' sebagai kemungkinan sasaran.

Ia juga menasihatkan rakyat Australia supaya 'menimbang semula keperluan untuk pergi ke kawasan pantai timur Sabah'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 4:29 PM