TAN Lee Koon ketika hadir merasmikan Matta Fair Negeri Sembilan, di sini, malam tadi. FOTO Ahmad Hasbi
TAN Lee Koon ketika hadir merasmikan Matta Fair Negeri Sembilan, di sini, malam tadi. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan kini sedang dalam usaha untuk menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP) bagi inap desa supaya Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dapat membantu semua pengusaha mempromosikan produk mereka.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nicole Tan Lee Koon berkata, terdapat banyak inap desa di negeri itu yang menawarkan pakej menarik kepada pelancong, namun hanya sebahagian sahaja yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya mahu bantu mereka mempromosikan inap desa melalui LPNS. Ketika ini PBT di negeri ini sedang mengikuti bengkel bagi pelaksanaan SOP inap desa.

"Saya difahamkan setakat ini hanya 11 yang berdaftar dengan PBT dan masih banyak yang belum berdaftar menyebabkan ada beberapa SOP yang tidak diikuti," katanya ketika merasmikan Matta Fair Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Nicole berkata, amat merugikan jika pengusaha inap desa tidak mendaftar dengan PBT memandangkan ada sesetengah daripada mereka menawarkan pakej menarik.

"Di Negeri Sembilan ini, ada yang menawarkan penginapan dengan suasana hijau seperti bendang, permainan tradisional, demonstrasi makanan tradisional dan aktiviti lain.

"Ada antara mereka yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), namun tidak mengikut SOP daripada pihak PBT.

"Kerajaan negeri ketika ini sedang dalam usaha untuk memastikan semua inap desa berdaftar dengan PBT bagi memastikan LPNS dapat membantu mereka mempromosikan produk masing-masing," katanya.

Mengenai Matta Fair, beliau berkata, orang boleh mengelak daripada ditipu melalui pakej pelancongan kerana agensi yang terbabit ditapis sebelum terbabit dengan acara ini.

"Sebelum ini kita baca berita banyak kes penipuan pelancongan termasuk membabitkan pakej umrah.

"Melalui Matta Fair ini, orang awam lebih selamat daripada menjadi mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 1:47 PM