JAFRY ARIFFIN
JAFRY ARIFFIN
BERNAMA

Kota Kinabalu: Langkah kerajaan membenarkan kemasukan pelancong dari Brunei ke Sabah akan mempercepatkan lagi usaha pemulihan industri pelancongan negeri yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Jafry berkata, beliau yakin pengusaha industri pelancongan Sabah sudah bersiap sedia menerima kemasukan pelancong dalam dan luar negara khususnya dari Brunei dengan menyediakan pelbagai protokol dan prosedur kesihatan serta keselamatan yang ditetapkan.

"Mengikut Statistik Pelancongan Sabah, jumlah pelancong dari Brunei meningkat daripada 56,259 orang pada 2018 kepada 78,605 tahun lalu. Dengan pembukaan sempadan, ini pastinya akan mempercepatkan fasa pemulihan industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun mengumumkan Majlis Keselamatan Negara bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk membenarkan pelancong dari Brunei memasuki Sabah.

Masidi berkata pelancong dibenarkan masuk melalui jalan darat atau udara, bagaimanapun, masih tertakluk kepada syarat menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai mana ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.

Mengulas lanjut, Jafry berkata, keputusan berkenaan diambil selepas negara jiran itu tidak mencatat sebarang kes positif Covid-19 sejak tujuh bulan lalu sekali gus dikategorikan sebagai negara hijau.

Dalam pada itu, rakyat tempatan digesa memanfaatkan cuti hujung minggu dengan menerokai dan menikmati destinasi-destinasi menarik di dalam negara khususnya di Sabah bagi merancakkan lagi ekonomi pelancongan domestik, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 5:38 PM