RAKYAT Aceh menanam padi secara tradisional.
RAKYAT Aceh menanam padi secara tradisional.

Banda Aceh: Kecanggihan teknologi menerusi industri pertanian sedikit pun tidak memberi kesan kepada penduduk Aceh yang masih mengamalkan kaedah tradisional dalam penanaman padi dan kopi yang menjadi aktiviti utama ekonomi negeri itu.

Setiausaha Daerah Pemerintah Kota Banda Aceh Ir Bahagia Dipl SE berkata, pihaknya memberi kemudahan asas perniagaan seperti kursus keusahawanan dan modal permulaan kepada rakyatnya yang berminat menjalankan aktiviti pertanian itu.

“Bumi Aceh semakin subur selepas kejadian tsunami pada 2004 dan sehingga kini perniagaan Kopi Aceh berjaya menembusi pasaran global sekali gus membaiki taraf hidup penduduk di sini.

“Kaedah tradisional memproses kopi lebih digemari penduduk berbanding penggunaan mesin kilang yang memakan kos yang lebih tinggi.

“Perniagaan kopi juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk yang tidak putus berusaha membangunkan semula kehidupan mereka yang musnah selepas tragedi tsunami,” katanya.

Harian Metro sempat menemubual pengusaha kopi Nawawi Muhammad, 56, yang menjalankan perniagaan itu sejak tiga generasi sehingga berjaya membawa produk Serambi Makkah itu ke peringkat global.

Menurut Nawawi, biarpun masih terkesan dengan tragedi 12 tahun lalu, semangatnya untuk membangunkan perniagaan kopi Aceh tidak pernah terkubur kerana banyak kenangan bersama keluarga dan rakan terkandung sepanjang menjalankan perniagaan itu.

“Kopi Aceh mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri yang juga diketahui penduduk dunia apabila tragedi tsunami melanda Banda Aceh pada 12 tahun lalu.

“Saya mendapat banyak tempahan dari luar negara dan kedai kopi tempatan untuk dijadikan hidangan tidak kira masa memandangkan minuman ini dapat memberi tenaga segera,” katanya.

Katanya, resipi setiap kopi yang dihasilkan di Banda Aceh berlainan mengikut citarasa pelanggan yang mungkin gemarkan ia lebih pahit, ringan atau manis.

“Keharuman kopi Aceh juga mendapat perhatian umum kerana mereka boleh memakan begitu saja biji kopi yang dibakar pada suhu tertinggi sebelum melalui proses pemilihan biji kopi secara tradisional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:37 AM