Ahmad Zahid hadapi keseluruhan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. FOTO Saddam Yusoff.
Ahmad Zahid hadapi keseluruhan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. FOTO Saddam Yusoff.
BERNAMA

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Zahid, 66, bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tambahan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan tambahan itu menjadikan pertuduhan yang dihadapi Zahid kini berjumlah 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Zahid yang memakai kemeja batik lengan panjang tiba di mahkamah pada 8.40 pagi, kelihatan tenang sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan tambahan itu, dia didakwa sebagai seorang ejen iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi yang diamanahkan dengan harta iaitu wang sejumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, telah melakukan pecah amanah wang itu dengan curangnya membuat pembayaran kepada TS Consultancy & Resources.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, No 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Dis 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana mengguna pakai jaminan dalam kes terdahulu.

“Pihak pendakwaan hari ini menyerahkan dua set dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak pembelaan,” katanya.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid mengesahkan perkara terbabit.

“Ya, pihak kami sudah menerima (dua set dokumen) dan akan membuat semakan terhadap dokumen itu,” katanya.

Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk turut diwakili Peguam Hisyam Teh Poh Teik, Kitson Foong, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Mohd Haziq Dhiyauddin dan Asilah Mohamad Shahril.

Mahkamah menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini pada 19 Okt dan 14 Dis tahun lalu, Zahid mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Zahid diikat jamin keseluruhan RM2 juta dengan seorang penjamin selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:18 PM