Kakitangan MAHB memeriksa kemudahan di kaunter pemeriksaan bagasi dan penumpang untuk penerbangan AirAsia yang disediakan Terminal 1 KKIA.
Kakitangan MAHB memeriksa kemudahan di kaunter pemeriksaan bagasi dan penumpang untuk penerbangan AirAsia yang disediakan Terminal 1 KKIA.
Oleh Mohd Razlan Salleh dan Erdiehazzuan Ab Wahid


Kota Kinabalu: Selepas hampir lapan tahun beroperasi, Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) juga dikenali sebagai Terminal Tambang Murah (LCCT) yang mengendalikan lebih 3.6 juta penumpang akhirnya ditutup secara rasmi, semalam.

Penutupan itu menyebabkan pengendali syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd (AirAsia) terpaksa akur dan memindahkan operasi mereka di Terminal Satu KKIA yang menyediakan kemudahan lebih baik dan sempurna kepada semua penumpang pesawat komersial.

Operasi penerbangan terakhir dari Terminal Dua adalah AK6359 yang berlepas ke Kuching pada jam 10.25 malam tadi.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Abd Hamid Mohd Ali berkata, enam pesawat AirAsia sudah mendarat di Terminal Satu selepas Terminal Dua ditutup secara rasmi untuk sebarang ketibaan pesawat tepat jam 12 tengah malam.

“Pesawat pertama AirAsia yang mendarat di Terminal Satu adalah dari Sandakan pada jam 8.40 malam.

“Sejajar dengan penutupan ini, semua pesawat beroperasi di Terminal Dua sudah dijadualkan semula oleh AirAsia, yang juga pengendali tunggal di Terminal Dua,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abd Hamid berkata, MAHB menyediakan semua peralatan, sistem dan ruang pejabat untuk melicinkan operasi di lapangan terbang utama itu.

“Lima lagi penerbangan AirAsia yang tiba di Terminal Satu malam tadi adalah dari Tawau pada jam 10.40 malam, Kuala Lumpur dan Hong Kong (11.05 malam), Hangzhou (12.45 tengah malam) dan terakhir dari Guangzhou pada jam 3.15 pagi.

“Pesawat AirAsia pertama yang berlepas dari Terminal Satu pada jam 6.10 pagi menuju ke Taipei,” katanya.

Menurutnya, syarikat tambang murah itu mengendalikan 72 pendaratan dan pelepasan pesawat di KKIA setiap hari.

“MAHB sudah mengadakan simulasi dan mesyuarat bersama AirAsia bagi melancarkan operasi penerbangan serta perkhidmatan di Terminal Satu.

“Operasi di Terminal Satu diharap dapat berjalan dengan lancar kerana MAHB sudah melakukan persediaan sejak dari awal lagi,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di Terminal Dua, semalam, sehari sebelum operasinya ditamatkan mendapati keadaan masih sesak sama ada di kaunter pelepasan dan ketibaan.

Seorang penumpang AirAsia, Ridwan Ongkod, 44, mengakui kemudahan di Terminal Satu memberi lebih keselesaan kepada penumpang.

Awal bulan lalu, MAHB mengumumkan semua operasi di Terminal Dua dipindahkan ke Terminal Satu berkuatkuasa pada 1 Disember (hari ini).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 5:50 AM