Farah Adilla

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes yakin kerajaan akan membenarkan penubuhan tiga terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) di negara ini.

Tony dalam catatan Twitternya semalam, menulis “Malaysia, saya pasti akan ada tiga terminal LCC di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Dengan momentum di Indonesia dan Filipina, ini amat besar untuk @AirAsia.”

Keyakinannya itu bersandarkan daripada pertemuannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Airports Holdings Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin pada Jumaat lalu.

Tony pada minggu lalu berkata, Malaysia dijangka mempunyai lebih banyak LCCT memandangkan MAHB kini memahami apa yang boleh dilakukan AirAsia bagi sektor penerbangan tempatan.

“Lebih banyak terminal tambang murah akan dibina. MAHB kini memahami apa yang kami boleh lakukan. Tempoh mengujakan untuk tetamu, rakyat Malaysia. Lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Diharapkan pertikaian ini akhirnya tamat dan kami sama-sama muncul sebagai pemenang. MAHB dan AirAsia. Malah sudah tentu rakyat Malaysia adalah pemenang terbesar,” katanya dalam satu catatan di Twitter minggu lalu.

AirAsia pernah mencadangkan pembinaan LCCT di Kota Kinabalu, Sabah kepada kerajaan pada November 2016.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, jumlah penumpangnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sudah lama menyusut dan menjelaskan bahawa perkembangan itu hanya boleh dipulihkan dengan memindahkan LCCT keluar dari Terminal 1 (T1) KKIA.

Katanya, AirAsia beroperasi di Terminal 2 (T2) dari pertengahan 2004 sehingga Disember 2015, sebelum LCCT dipaksa berpindah ke T1 memandangkan kemudahan yang tidak disediakan untuk operasinya.

Namun, MAHB menafikan dakwaan AirAsia bahawa ia mengalami penyusutan pertumbuhan sejak berpindah ke T1.

MAHB berkata, data dengan jelas menunjukkan bahawa selepas penyatuan operasi, terdapat pertumbuhan trafik yang besar di KKIA secara keseluruhannya termasuk untuk Kumpulan AirAsia, justeru menyumbang kepada peningkatan trafik pelancongan untuk Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 12:00 PM