APMM bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memadamkan kebakaran tiga kapal.
APMM bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memadamkan kebakaran tiga kapal.

Sandakan: Kebakaran dua kapal kumpit dan sebuah kapal awam dipercayai akibat masalah enjin sehingga menyebabkan seorang hilang dan lima lagi cedera melecur dalam kejadian di perairan Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa hilang dikenali sebagai Susulan Abraham, 36, warga Filipina dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih digiat dijalankan manakala lima lelaki yang belum dikenal pasti identitinya kini dirawat di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), di sini, dan salah satu mangsa daripada lima yang melecur dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian kebakaran itu berpunca daripada kapal kumpit yang membawa petrol dari Sandakan.

“Mengikut maklumat awal, kapal yang terbakar itu memiliki dua enjin dan apabila enjin pertama dihidupkan ia berjaya dan sebaik enjin kedua cuba dihidupkan ia terus meletup.

“Akibat kejadian itu, lima mangsa mengalami cedera melecur dan seorang daripada mereka kritikal,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati kapal berkenaan dipercayai bertolak dari Sandakan ke Filipina.

“Pada malam selepas kejadian, syarikat berkaitan memberitahu semua pekerja dan individu yang terbabit dalam kejadian itu sudah ditemui.

“Bagaimanapun, pagi tadi (semalam), syarikat itu melaporkan seorang pekerja hilang dan mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira jam 6 petang tadi,” katanya.

Tambahnya, semua aspek akan diambil kira dalam menjalankan siasatan dan buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan semua dokumen yang berkaitan.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa APMM Sandakan A Razak Abd Rahman berkata, sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan penyelamat jam 8.34 malam semalam (kelmarin), ketiga-tiga kapal gagal diselamatkan dan bangkai kapal tenggelam ke dasar laut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 8:26 AM