LOKASI pencarian mangsa dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam. FOTO ihsan APMM
LOKASI pencarian mangsa dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Lima lelaki warga Filipina selamat manakala tiga lagi termasuk tekong dikhuatiri lemas selepas bot kumpit dinaiki mereka karam kira-kira 17 batu nautika Barat Laut perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, bot kumpit ML LADY dalam pelayaran dari Labuan Ke Filipina dengan muatan 6,000 beg beras dan 2,500 beg gula.

Difahamkan, lapan kru berada di atas bot kumpit berkenaan namun lima daripadanya diselamatkan oleh bot nelayan berhampiran sebelum dibawa ke Labuan.

Tiga lagi masih hilang termasuk tekong dan usaha mencari dilakukan oleh rakan-rakan mangsa sebelum seorang daripada mangsa yang selamat membuat laporan dengan polis dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu 8.35 pagi tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.

Kapal Maritim (KM) Memmon dikerah ke lokasi kejadian, katanya.

"Operasi SAR turut membabitkan dua kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) serta pesawat udara," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 1:53 PM