Suspek terbaring kaku selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan Wisma Sandakan. FOTO Ihsan Pembaca
Suspek terbaring kaku selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan Wisma Sandakan. FOTO Ihsan Pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG pencuri bukan sahaja gagal memecah masuk bangunan Wisma Sandakan, malah kini terlantar kritikal di hospital akibat parah selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan berkenaan, pagi hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, suspek lelaki berusia 24 tahun yang parah pada kepala, leher dan pinggang menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, kejadian itu disaksikan oleh orang awam dari Masjid Jamek yang terletak bersebelahan dengan bangunan Wisma Sandakan.

“Ketika kejadian, suspek bersama seorang lagi rakannya dipercayai berada di parkir di tingkat dua dan cuba naik memanjat naik ke tingkat lima bangunan berkenaan.

“Tetapi, suspek tergelincir lalu terjatuh dan rakannya pula melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, akibat kejadian itu, suspek kemudian dihantar ke HDOK untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan mendapati, suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau dan kini polis sedang mengesan rakan suspek yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 11:20 PM