LELAKI berusia 44 tahun ditahan polis bersama dadah dan pelbagai peralatan dipercayai untuk digunakan dalam kegiatan pecah rumah. FOTO ihsan POLIS
LELAKI berusia 44 tahun ditahan polis bersama dadah dan pelbagai peralatan dipercayai untuk digunakan dalam kegiatan pecah rumah. FOTO ihsan POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


BUKAN sahaja dadah heroin dan syabu malah pelbagai peralatan dipercayai untuk melakukan kegiatan pecah rumah ditemui di sebuah pondok dalam kebun berhampiran jirat cina di Kota Puteri, Ijok, di Kuala Selangor, semalam.

Penemuan itu membawa kepada penahanan seorang suspek lelaki berusia 44 tahun yang berada di dalam pondok itu dengan keadaan mencurigakan pada 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, hasil pemeriksaan polis menemui tujuh peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 11.07 gram dan tiga peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.47 gram.

Beliau berkata, pemeriksaan sama turut menemui sembilan peralatan pecah rumah dalam motosikal suspek termasuk parang panjang dan golok.

"Pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek mendapati ia palsu, namun tiada rekod kehilangan dilaporkan.

"Tangkapan dan barang kes yang dirampas dibawa ke Balai Polis Bestari Jaya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:57 PM