ANGGOTA penyelamat menemui semula lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Kinarut. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA penyelamat menemui semula lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Kinarut. FOTO Ihsan Bomba
Junaidi Ladjana


LELAKI yang disangka lemas selepas terjun ke sungai rupa-rupanya ‘bersembunyi’ di Pulau Manukad, Papar, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, awal pagi tadi.

Difahamkan, lelaki, 25, itu sebelum ini dikatakan terjun ke dalam sungai Kinarut di Kampung Seri Menanti, Papar dan tidak timbul menyebabkan sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan ada individu lemas pada 3.40 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota penyelamat termasuk Unit Skuba dikerah ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat.

“Pada 11.30 pagi tadi, orang awam memaklumkan menemui lelaki terbabit di Pulau Manukad, Papar, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjun.

“Lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian air surut pada paras pinggang dan lelaki terbabit dipercayai berenang dari lokasi dia dilaporkan terjun ke pulau berkenaan.

Katanya, lelaki itu mendakwa dia dikejar oleh sebuah motosikal menyebabkannya lari sehingga ke Pulau Manukad.

“Sebaik mangsa ditemui, operasi menyelamat dhentikan serta-merta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 8:53 PM