LIM (kiri) bersama Chow hadir pada majlis Konvensyen DAP Negeri Pulau Pinang.
LIM (kiri) bersama Chow hadir pada majlis Konvensyen DAP Negeri Pulau Pinang.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Ketua Menteri, Lim Guan Eng terus ditekan ahli DAP sendiri yang mencadangkan agar jawatan beliau itu disandang Pengerusi DAP negeri yang dipilih dalam proses pemilihan parti.

Tekanan itu dibuat Ahli DAP kawasan Taman Chai Leng, Shamser Singh Thind apabila mencadangkan agar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan Jawatankuasa Negeri seharusnya mensyaratkan agar jawatan Ketua Menteri dipilih di kalangan DAP negeri.

Menurutnya, jawatan itu harus diberikan kepada pengerusi DAP negeri kerana mandat menerajui kerajaan negeri mesti diberikan kepada seorang pemimpin yang diberi kepercayaan oleh akar umbi.

“Saya turut mengkritik proses lantikan jawatan dalam DAP negeri tidak melantik pengerusi dalam kalangan pemimpin yang mendapat undi tertinggi,” katanya dalam konvensyen DAP negeri, di sini, semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya sebelum ini menerima tekanan hebat daripada penyokong DAP negeri ini yang mahukan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow menjadi Ketua Menteri.

Semalam, sebelum bermulanya Konvensyen DAP negeri, sekumpulan 20 individu ini mengadakan demonstrasi aman di hadapan hotel tempat berlangsungnya konvensyen berkenaan yang menuntut Chow dilantik sebagai Ketua Menteri.

Protes yang sama juga berlaku di hadapan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kelmarin selepas 40 penduduk membawa sepanduk tertulis ‘Guan Eng balik Melaka’ dan ‘Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang’.

Shamser juga mengambil contoh pemilihan DAP Selangor apabila Tony Pua dilantik sebagai Pengerusi DAP negeri itu sedangkan menduduki tangga kelapan berbanding Gobind Singh Deo yang mendapat undi tertinggi.

Katanya, sistem pemilihan ahli-ahli jawatankuasa negeri harus diubah kerana tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada akar umbi untuk memilih pemimpin mereka sepertimana yang dilakukan semasa pemilihan Dapsy.

“Saya juga turut mempersoal bagaimana DAP masih boleh bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dalam kerajaan pembangkang di Selangor sedangkan kedua-dua parti sudah tidak lagi mempunyai hubungan.

“Ini jelas sekali apabila tiga Exco kerajaan negeri Selangor daripada Pas dan mereka masih lagi mahu meniduri Pas walaupun sudah bercerai,” katanya.

“Tindakan DAP negeri mengkritik keputusan ADUN kerajaan negeri menyokong usul tambak laut yang dibawa ADUN Barisan Nasional (BN) dalam sidang DUN lalu juga perlu diperjelaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:00 AM