Polis menahan 15 lelaki terbabit dalam kegiatan dadah di sekitar kebun kelapa sawit Kampung Carok Juang Pantai Besar, Batu Kurau.
Polis menahan 15 lelaki terbabit dalam kegiatan dadah di sekitar kebun kelapa sawit Kampung Carok Juang Pantai Besar, Batu Kurau.

Selama: Sekumpulan 15 penagih dadah ditahan polis ketika melepaskan gian di dalam kawasan ladang sawit berhampiran Kampung Carok Juang, Pantai Besar, Batu Kurau dekat sini, jam 9 pagi kelmarin.

Dalam Ops Sarang itu, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Selama Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, pihaknya turut merampas 72.2 gram dadah jenis heroin dan dua gram Methamphetamine.

“Semua suspek adalah lelaki berusia 28 tahun hingga 57 tahun. Ketika serbuan, beberapa penagih cuba melarikan diri namun gagal.

“Dua suspek ditahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seorang lagi di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 manakala selebihnya di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 8:57 AM