DADAH dirampas daripada tiga lelaki di atas kubur Cina di Sungai Puyu, Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
DADAH dirampas daripada tiga lelaki di atas kubur Cina di Sungai Puyu, Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
Zulfa Mohamad


TIGA lelaki yang sedang melepaskan gian atas kubur Cina di Sungai Puyu, Butterworth, dicekup polis dalam serbuan, tengah hari semalam.

Serbuan 12 tengah hari itu membabitkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) susulan maklumat awam dan risikan.

Ketika serbuan, suspek yang dalam keadaan khayal sedang memasukkan dadah dalam straw untuk dijual kepada penagih sekitar Sungai Puyu.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis yang membuat pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai heroin dan 34 keratan straw.

Katanya, ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek berusia 30-an didapati positif morfin.

"Suspek bukan saja mengambil dadah, malah turut menjual bahan larangan berkenaan secara kecil-kecilan sekitar Sungai Puyu.

"Mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan," katanya.

Noorzainy berkata, pihaknya komited untuk membanteras kegiatan penagihan dadah dalam SPU habis-habisan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 4:33 PM