Dzaiddin  menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2015 daripada  Tuanku Syed Sirajuddin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1437H,  semalam.
Dzaiddin menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2015 daripada Tuanku Syed Sirajuddin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1437H, semalam.

Kangar: “Alhamdulillah, anugerah diterima ini penghargaan tidak ternilai dan didedikasikan kepada keluarga yang banyak membantu dalam kerjaya saya selama ini.”

Begitu penghargaan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin Abdullah, 78, apabila diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2015 Perlis pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1437H, di sini, semalam.

Anak jati Arau berkenaan seorang daripada dua penerima Tokoh Maal Hijrah 2015 negeri selain anugerah sama diberikan kepada Pengasas Kolej Yayasan Saad yang juga ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Halim Saad.

Dzaiddin dalam komen ringkasnya ketika ditemui berkata, anugerah itu hasil kerja kerasnya selama ini dan sangat berterima kasih kepada keluarganya.

Sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Negara dari 2000 hingga 2003, beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar The Malay Mail pada 1956 sebelum menjadi Inspektor Polis pada tahun berikutnya.

Kerjayanya dalam bidang guaman bermula pada 1966 apabila menjadi Badan Peguam British dan Malaya sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1979 dan seterusnya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1982.

Walaupun bersara daripada bidang kehakiman, khidmatnya masih diperlukan apabila beliau memegang jawatan Canselor Wawasan Open Universiti sejak 2013 lalu.

Bagi Anugerah Maal Hijrah 2015 peringkat negeri pula dianugerahkan kepada bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Abdul Malik Hussin dan tokoh perniagaan, Abdul Rauf Rashid.

Dalam majlis berkenaan, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 10:11 AM