Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Muar dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445 Hijriah peringkat Negeri Johor.

Syakirin Omar, 72, berkata, beliau berbesar hati dengan anugerah diterimanya itu dan ia dijadikan sebagai pembangkit semangat untuk meneruskan dakwah dan berjihad ke jalan Allah.

"Saya berbesar hati menerima anugerah ini dan berharap ia turut memberi motivasi buat anak-anak serta cucu saya dalam menjalankan kerja dakwah.

"Dengan mengambil roh Maal Hijrah, setiap insan perlu berubah menjadi lebih baik setiap hari. Perubahan ini perlu ada dalam kita mengatur hidup ke jalan Allah dan membentuk iman yang sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di sini, hari ini.

Bapa kepada lima orang anak itu menerima anugerah berserta wang tunai RM12,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.

Mohd Fared turut menyarungkan jubah dan songkok Tokoh Maal Hijrah kepada Syakirin.

Menurut Syakirin, beliau memulakan kerjayanya sebagai guru agama pada 1971 sebelum menjadi Pengelola Pelajaran Agama Negeri Johor pada 1980.

"Saya kemudian bertugas sebagai Pegawai Zakat dan Amil Baitulmal Johor pada 1983; kemudian menjadi Pegawai Tadbir Agama Pejabat Kadi Daerah Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Segamat dan Muar dari 1987 hingga 1996.

SYAKIRIN dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445 Hijriah peringkat Negeri Johor. FOTO Izz Laily Hussein
SYAKIRIN dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445 Hijriah peringkat Negeri Johor. FOTO Izz Laily Hussein

"Selepas menyambung pelajaran, saya bertugas sebagai Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Segamat pada 1996 dan jawatan terakhir saya adalah sebagai Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Muar sebelum bersara," katanya.

Syakirin yang mempunyai 12 orang cucu itu juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, selain Diploma Pentadbiran Mahkamah Syariah dan Diploma Pentadbiran Kehakiman daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Norlida Ismail, 61, sentiasa menjadi rujukan dalam hal ehwal ilmu agama oleh masyarakat setempat termasuk menyampaikan mesej dakwah serta sebaran Islam menerusi kuliah dan ceramah agama sehingga kini.

Anak jati Segamat itu pernah menerima pengiktirafan atas jasanya yang aktif dalam pelbagai bidang keagamaan dan keilmuan antaranya Pingat Ibrahim Sultan Johor Pangkat Kedua pada 1991 dan Pingat Lama Perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Johor pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 1:58 PM