Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menegur sikap segelintir Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di Perlis apabila membenarkan jemaah hadir tanpa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Baginda menzahirkan rasa kecewa apabila mereka turut menyediakan sejadah dan pelitup muka kepada jemaah, namun ia tidak diuruskan dengan betul selepas digunakan.

Titah baginda, ada juga kariah yang tidak melakukan penjarakan fizikal dengan betul ketika melaksanakan solat berjemaah khususnya ketika solat Jumaat.

"Kadang-kadang mereka ini (AJK masjid) cuba hendak ambil hati anak-anak kariah dan jemaah dengan membenarkan mereka bersolat di tempat yang tidak sepatutnya.

"Ini jelas berlawanan dengan SOP, jarak (fizikal) antara jemaah mestilah mengikuti SOP, dan jika ia tidak dijaga boleh menyebabkan jangkitan berlaku.

"Begitu juga dengan pemberian pelitup muka dan sejadah kepada anak kariah yang tidak membawanya ketika bersolat di masjid, yang peliknya selepas solat AJK bertindak mengutip semula pelitup muka dan sejadah berkenaan," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Kangar, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Pengerusi Bersama (Industri) Malaysian Industry-Government Group For High Technology (MiGHT), Tan Sri Ir Ahmad Tajudin Ali menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1442 Hijrah Peringkat Perlis.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan satu kes positif Covid-19 di Sanglang selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul ditamatkan pada 26 Ogos lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 3:33 PM