Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam (IKIM), Datuk Dr Abdul Monir Yaacob diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Dr Abdul Monir, 77, anak jati dari Mengkarak Bera, Pahang itu dipilih berdasarkan sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

Antara sumbangan beliau adalah ketika dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keutuhan Jabatan Perdana Menteri, beliau menemui Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar mencadangkan supaya pegawai polis wanita digalakkan memakai tudung.

Selain itu, beliau mengadap dan menyembah maklum bagi pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke sisi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail berhubung keadaan banduan Islam yang menghadapi masalah menunaikan solat kerana mereka hanya dibenarkan memakai kemeja T putih dan seluar pendek yang tidak menutup aurat.

Beliau juga antara individu bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai hukum hudud di TV1 atas permintaan Menteri Penerangan pada 1996 dan juga melakukan pembentangan kertas kerja bagi pihak Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim di Universiti Harvard pada 1997.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M, di sini, hari ini.

Selain itu, Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Amad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah termasuk wang tunai dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh berkenaan.

Turut berangkat pada majlis itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 10:57 AM
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Kebangsaan Maal Hijrah kepada bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Abdul Monir Yaacob (kiri) pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO Bernama.
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Kebangsaan Maal Hijrah kepada bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Abdul Monir Yaacob (kiri) pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO Bernama.