Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Seorang penuntut perempuan universiti awam bernasib malang dirogol bergilir-gilir empat lelaki yang menyamar ahli Rukun Tetangga sebuah kampung, di depan teman lelakinya di Pantai Pengkalan Balak, di sini, tengah malam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, mangsa juga didakwa ditumbuk sebelum dirogol, manakala teman lelakinya dibelasah empat suspek lingkungan 20-an yang mendakwa ahli Rukun Tetangga dari sebuah kampung berhampiran.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa berusia 18 tahun dan teman lelaki 21 tahun singgah di kedai berhampiran untuk makan malam sebelum berkhemah di tepi pantai berkenaan.

“Gadis berkenaan dipercayai baru mengenali teman lelakinya beberapa bulan lalu dan ketika dihampiri empat suspek, kedua-duanya dikatakan memadu asmara di tepi pantai itu.

“Suspek meminta pasangan itu menyerahkan kad pengenalan mereka selain mengugut membawa mereka ke balai polis untuk tindakan lanjut bagi menakutkan pasangan itu,” katanya.

Sumber berkata, teman lelaki gadis itu merayu tidak dibawa ke balai polis kerana bimbang tindakan itu menjejaskan mereka dan berisiko dibuang dari universiti.

Katanya, seorang daripada suspek menumbuk lelaki terbabit, manakala tiga lagi rakannya menarik penuntut wanita itu ke tepi pantai sebelum dirogol bergilir-gilir.

“Walaupun merayu, suspek tetap merogol penuntut wanita itu di depan teman lelakinya yang dalam kesakitan,” katanya.

Pasangan itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru sejurus kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:55 AM