Kuala Lumpur: Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Visi Komuniti ASEAN 2025 tonggak yang dimuktamadkan semasa mesyuarat ke-10 Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi (HLTF) Mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2015, yang berakhir di sini, semalam.

Mesyuarat dua hari yang dipengerusikan wakil Malaysia dalam HLTF, Datuk Hsu King Bee merangkap Pengerusi HLTF turut memuktamadkan dua lagi dokumen iaitu Visi Komuniti ASEAN 2025 dan tiga rangka tindakan Komuniti ASEAN.

Menurut kenyataan Wisma Putra, mesyuarat itu dihadiri Pengerusi HLTF Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN Pasca-2015 (HLTF-EIWG), Datuk P Ravidran dan Timbalan Pengerusi HLTF Mengenai Komuniti Sosiobudaya ASEAN (HLTF-ASCC), Datuk Seri Dr Victor Wee Eng Lye.

Hadir sama, wakil HLTF dan delegasi dari negara anggota ASEAN.

Wisma Putra berkata, Pengerusi HLTF mengemukakan draf akhir dokumen keseluruhan kepada Majlis Penyelaras Kumpulan Kerja ASEAN (ACCWG) menjelang 15 Oktober ini selepas pengesahan dan kelulusan rangka tindakan tonggak Komuniti ASEAN masing-masing.

“Visi ASEAN 2025 pada dasarnya menggariskan keazaman pemimpin seperti dalam Deklarasi Nay Pyi Taw membentuk masa depan yang berani dan berpandangan jauh ASEAN bagi dekad akan datang, meningkatkan dan menyatukan proses pembinaan Komuniti ASEAN.

“Visi ini bertujuan merealisasikan kesepaduan dari segi politik, ekonomi dan tanggungjawab sosial serta berasaskan peraturan, berorientasikan ASEAN berpaksikan rakyat khusus dalam era pasca 2015,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 6:02 AM