NAJIB bersama (dari kiri) Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dan Presiden Filipina Benigno S Aquino III.
NAJIB bersama (dari kiri) Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dan Presiden Filipina Benigno S Aquino III.
Oleh Ahmad Saufi Mansor dan Aizat Sharif

Langkawi: Sesi pemukiman ketua negara dan kerajaan ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-26, di sini, mencapai kata sepakat berhubung empat perkara utama yang perlu diberikan tumpuan dalam menentukan hala tuju negara berkenaan pada masa depan.

Ia diadakan sebagai platform terbaik kepada kepemimpinan 10 negara berkenaan untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak berkata, fokus perbincangan sesi pemukiman berkenaan tertumpu kepada kepaksian ASEAN selain impak krisis kewangan dan kegawatan ekonomi ke atas rantau ASEAN dan tindak balas yang diambil dalam menanganinya.

Katanya, selain itu, ia juga menyentuh mengenai perubahan iklim dan pengurusan bencana, di samping pertukaran pendapat mengenai isu serantau serta antarabangsa.

“Ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN juga memperakukan tiga deklarasi seperti Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN Berpaksikan Rakyat dengan memberi fokus kepada rakyat dan persekitaran sebagai asas pembentukan rangka kerja ke arah pembentukan Komuniti ASEAN Pasca 2015.

“Selain itu, Deklarasi Langkawi Mengenai Gerakan Kesederhanaan Global mengenai kepentingan kesederhanaan secara menyeluruh dalam mempromosikan keamanan, memastikan pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi saksama serta mempromosikan keharmonian sosial.

“Manakala Deklarasi bagi Menginstitusikan Daya Tahan ASEAN, Komuniti dan Warganya Terhadap Bencana dan Perubahan Iklim dengan penekanan mengenai kepentingan pembangunan Komuniti ASEAN berdaya tahan dalam menghadapi impak perubahan iklim dan bencana alam,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini, semalam.

Sepanjang sidang kemuncak berlangsung, semua ketua negara dan kerajaan turut memperakui enam dokumen seperti Laporan Setiausaha Agung ASEAN mengenai aktiviti ASEAN, Laporan Majlis Komuniti Politik-Keselamatan, Laporan Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN serta Laporan Majlis Komuniti Sosio-Budaya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-26, Laporan Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN dan Laporan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN kepada pemimpin ASEAN.

Najib berkata, Sidang Kemuncak Kawasan Pembangunan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak Segitiga Pembangunan Malaysia-Indonesia-Thailand (IMT-GT) juga diadakan, semalam.

Menurutnya, kedua-dua sidang kemuncak berkenaan mengesahkan kepentingan kedua-dua kerjasama sub-serantau BIMP-EAGA dan IMT-GT ke arah menjayakan pembentukan komuniti ASEAN 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:41 AM